Diterbitkan pada 1 September 2025, 23:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Inflasi utama negara pada Julai 2025 meningkat sedikit kepada 1.2 peratus berbanding dengan 1.1 peratus pada Jun, manakala inflasi teras kekal stabil pada kadar 1.8 peratus.

Peningkatan ini dipacu oleh harga sayur-sayuran segar dan tambang penerbangan yang lebih tinggi, sementara penurunan bil elektrik hasil penyusunan semula tarif dan rebat penggunaan rendah mengurangkan tekanan inflasi.

Bagi sektor perdagangan, eksport negara kembali mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 6.8 peratus selepas susut 3.6 peratus pada bulan Jun 2025. Lonjakan ini disokong oleh eksport produk elektrik dan elektronik (E&E), meskipun eksport komoditi utama seperti minyak sawit dan gas asli cecair (LNG) masih lemah. Import pula berkembang perlahan pada kadar 0.6 peratus berikutan penurunan import barangan pertengahan.

Dalam sektor pinjaman, kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat kepada 5.5 peratus, didorong oleh pertumbuhan pinjaman perniagaan dan bon korporat. Pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (IKS) turut bertambah, khususnya bagi modal kerja. Pinjaman isi rumah kekal stabil pada kadar enam peratus merangkumi pembiayaan perumahan, kenderaan dan lain-lain.

Pasaran kewangan negara terus dipengaruhi oleh ketidaktentuan dasar Amerika Syarikat dan isu perdagangan global. Ringgit menyusut 0.9 peratus berbanding dengan dolar AS seiring dengan trend mata wang serantau. Walau bagaimanapun, hasil bon kerajaan 10 tahun menurun disokong penurunan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia dan prospek fiskal yang positif. Sebaliknya, indeks FBM KLCI susut 1.3 peratus berikutan aliran keluar dana asing.

Sistem perbankan negara kekal kukuh dengan kadar modal tinggi 18.4 peratus dan lebihan rizab modal berjumlah RM143.3 bilion. Kualiti aset perbankan juga stabil dengan kadar pinjaman bermasalah kasar rendah pada 1.4 peratus, manakala tahap perlindungan kerugian pinjaman berada pada paras berhemat, iaitu 128.9 peratus.

Secara keseluruhannya, meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran luar, sektor kewangan dan perbankan Malaysia masih kekal stabil serta mampu menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi