Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Penganjuran ASEAN Green Skills Fair 2025 oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui TalentCorp membuktikan komitmen Malaysia bagi memperkukuh peranan membina tenaga kerja hijau.
Majlis pelancaran forum ini disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KESUMA, YBhg. Datuk Azman Mohd Yusof yang menegaskan kepentingan pembangunan kemahiran hijau bagi menyokong masa hadapan rendah karbon Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).
Forum berkenaan menghimpunkan syarikat utama seperti Siemens Energy, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), PwC, Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sekali gus memperlihatkan bahawa inovasi dan latihan mampu membuka peluang baharu dalam pekerjaan hijau.
Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp, Mr. Thomas Mathew berkata, usaha bersepadu dengan kementerian, industri dan rakan antarabangsa akan memastikan kemahiran hijau disepadukan dalam sistem pendidikan dan latihan. Langkah tersebut selaras dengan matlamat melahirkan tenaga kerja berdaya saing yang bersedia menghadapi peralihan digital serta hijau.
Penganjuran acara ini turut menyokong inisiatif KESUMA menubuhkan ASEAN Green Jobs Regional Centre of Excellence (AGJCOE) sebagai pusat serantau penyelidikan, dasar dan latihan. Inisiatif tersebut sekali gus mengukuhkan pertumbuhan ekonomi hijau, penciptaan pekerjaan serta kemahiran masa hadapan di rantau ini.
Pelaksanaan ASEAN Green Skills Fair 2025 mencerminkan teras Kelestarian dan Kesejahteraan Malaysia MADANI yang menekankan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan perlindungan alam sekitar dengan kesejahteraan rakyat.

Acara selama dua hari dengan kemasukan percuma itu memberikan peluang kepada orang ramai meneroka masa hadapan pekerjaan dalam ekonomi hijau.