Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPekan – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) memperkukuh industri akuakultur negara menerusi Projek Ternakan NEKMAT di Taman Akuakultur LKIM Badong, Pekan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke projek ternakan tersebut.

Projek ternakan ini menjadi peneraju dalam bidang akuakultur negara sejak dibangunkan pada tahun 2012 dengan keluasan 20 hektar dan pelaburan bersama bernilai RM23.25 juta. Daripada jumlah itu, NEKMAT menyumbang sebanyak RM12.25 juta (53 peratus) manakala LKIM RM11 juta (47 peratus).
Projek tersebut dilaksanakan secara berfasa melibatkan Fasa 1 (ternakan ikan marin), Fasa 2 (ternakan udang putih Panaeus Vannamei) dan Fasa 3 (ternakan udang) yang sedang dirancang.
Antara teknologi utama yang digunakan termasuklah sistem makanan automatik (Auto-Feeder), kolam HDPE Geo-Membrane yang lebih tahan lama serta aplikasi digital untuk pemantauan kualiti air. Pembangunan tenaga solar turut dirancang bagi menjadikan operasi lebih mampan.
Projek ini kini berjaya menghasilkan udang putih sebanyak 40 tan metrik setahun dengan kadar kelangsungan hidup 70 peratus serta kerapu hibrid 13 tan metrik setahun dengan kadar kelangsungan hidup 90 peratus.
Hasil ternakan dipasarkan pada harga antara RM12 hingga RM40 sekilogram dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pemborong serta penduduk setempat. Antara pelanggan utama termasuklah Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Ikan (CCDC) NEKMAT Taman Wahyu, Persatuan Nelayan Kawasan Nenasi dan Kuantan, Persatuan Nelayan Negeri Pahang, A&O Food Industries serta beberapa pengusaha tempatan.
Bagi masa hadapan, Fasa 3 projek ini akan melibatkan pembinaan 10 kolam ternakan udang dengan sasaran pengeluaran 120,000 kilogram setahun yang dijangka menjanakan hasil sekitar RM3 juta setahun.
KPKM komited memperkukuh industri akuakultur negara melalui penggunaan teknologi moden serta strategi pemasaran yang lebih berdaya saing demi manfaat komuniti nelayan dan bekalan makanan negara.
Terdahulu, YB Menteri turut menyantuni warga NEKMAT, LKIM dan nelayan dalam satu majlis makan bagi menghargai usaha mereka demi memastikan keterjaminan makanan negara. Lawatan kerja beliau diakhiri dengan tinjauan ke Ladang Tab LKIM, Badong.