Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pameran Livestock Malaysia 2025 yang merupakan pemacu industri ternakan negara membuka tirai di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan menghimpunkan lebih daripada 200 syarikat dari 30 negara.
Acara dwitahunan ini merupakan platform utama industri ternakan, makanan ternakan dan daging untuk mempamerkan teknologi terkini, amalan lestari, serta penyelesaian pasaran yang mampu meningkatkan daya saing sektor berkenaan. Penganjurannya selari dengan aspirasi Malaysia MADANI melalui teras “Kesejahteraan” bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada sumber protein yang berkualiti, selamat dan mampu milik.
Dalam ucapan perasmian, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup menegaskan visi Malaysia untuk membangunkan industri ternakan berteknologi tinggi yang bukan sahaja mampu memenuhi keperluan negara, malah rantau ini.

Antara keutamaan yang diberi tumpuan termasuklah pengeluaran makanan ternakan tempatan, pembangunan protein alternatif berasaskan sawit, pertanian tepat, automasi, pengukuhan biosekuriti, serta perkhidmatan veterinar.
Beliau turut menekankan bahawa pendekatan ini mencerminkan aspirasi Malaysia MADANI melalui teras “Kemampanan” dengan memberikan fokus kepada kelestarian pengeluaran dan pengurangan kebergantungan pada import demi menjamin bekalan makanan dalam jangka panjang.
Penganjuran Livestock Malaysia 2025 juga menjadi pemangkin kepada perkembangan perniagaan melalui sesi jaringan strategik antara pengeluar tempatan dengan pembekal teknologi antarabangsa. Pameran ini membuka peluang pertumbuhan mampan di rantau Asia Tenggara.
Dengan pengisian seperti Forum Ternakan Antarabangsa, seminar teknikal, pameran inovasi biosekuriti, serta sistem pemakanan pintar, acara ini sejajar dengan Malaysia MADANI melalui teras “Keyakinan” bagi membina keupayaan industri tempatan untuk bersaing pada peringkat global. Usaha ini sekali gus meningkatkan keyakinan terhadap keupayaan Malaysia sebagai hab ternakan serantau.