Diterbitkan pada 28 Ogos 2025, 10:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) meneruskan inisiatif kerjasama rentas agensi dengan menganjurkan Sesi Libat Urus (SLU) Bersama-sama Dewan/Persatuan Perdagangan Malaysia di Dewan Bangsawan, Menara HASiL.

Program ini menghimpunkan hampir 80 pemain industri bagi membincangkan isu percukaian semasa serta cabaran dan peluang yang dihadapi.

SLU kali ini merupakan siri ketiga selepas dua sesi terdahulu di Kuala Lumpur pada 30 Januari 2023 dan di Putrajaya pada 5 Jun 2024. Sesi tersebut memberikan tumpuan kepada komunikasi dua hala bersama-sama pemain industri bagi memperkukuh kerjasama strategik.

Selaras dengan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA) yang digariskan oleh Kementerian Kewangan (MoF), HASiL komited mendukung usaha kerajaan bagi memastikan keseimbangan antara kemampanan fiskal dengan pertumbuhan ekonomi. Melalui SLU ini, pandangan daripada persatuan, penyedia perkhidmatan dan pemain industri diambil kira bagi memperkukuh rangka percukaian yang lebih responsif dan mampan.

Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin bersama-sama barisan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif HASiL hadir pada sesi dialog terbuka tersebut. Dalam ucapannya, beliau menegaskan kepentingan peranan pemain industri bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dan mengekalkan daya saing dalam landskap mencabar ketika ini.

YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin ketika berucap dalam program tersebut.

Beliau turut menekankan pelaksanaan e-Invois yang kini memasuki Fasa Ketiga mulai 1 Julai 2025. Sehingga 27 Ogos 2025, lebih daripada 493 juta e-Invois telah dikeluarkan melibatkan lebih daripada 100 ribu pembayar cukai.

HASiL juga memperluas asas hasil melalui beberapa inisiatif utama, termasuk Sistem Taksir Sendiri Cukai Keuntungan Harta Tanah (STS CKHT), Global Minimum Tax (GMT) dan STS Duti Setem.

Selain itu, penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan turut dipergiat melalui platform e-Perkhidmatan seperti Portal MyInvois, aplikasi mudah alih MyInvois, sistem MyInvois e-POS, e-Sekatan Perjalanan, e-Janji Temu, e-Ansuran, e-Kompaun dan e-Derma.

Menurut beliau, usaha tersebut membuktikan kesungguhan HASiL bagi membina sistem percukaian yang progresif, telus dan inklusif selaras dengan aspirasi kerajaan untuk mencapai kemampanan fiskal jangka panjang dan kesejahteraan rakyat.

Sinergi positif antara HASiL dengan pemain industri melalui SLU ini diharap menjadi pemangkin kepada kolaborasi berterusan demi meningkatkan keberkesanan sistem percukaian negara serta menyokong pertumbuhan ekonomi secara dinamik.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas, sila hubungi HASiL menerusi:

  1. Hasil Contact Centre (HCC) melalui talian 03-89111000/603-89111000 (Luar Negara);
  2. HASiL Live Chat; dan
  3. Borang Maklum Balas dalam portal rasmi HASiL melalui pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi