Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menganjurkan Kempen Jom Makan Buah-buahan Tempatan @ Parlimen di Dewan Serbaguna Parlimen Malaysia.
Program ini diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu; Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup, serta Ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara dan warga Parlimen.

Bertemakan “Lebihkan Makan Buah-buahan Tempatan, Pilihan Tepat Berkhasiat”, kempen ini bertujuan menggalakkan pengambilan buah-buahan tempatan yang segar dan bernutrisi, di samping mengurangkan kebergantungan pada buah import.
Inisiatif ini juga selari dengan kempen Gaya Hidup Sihat serta menyokong usaha memperkukuh pasaran buah-buahan tempatan demi kesejahteraan petani dan pembangunan industri agromakanan negara.
Sejak tahun 2021 hingga Julai 2025, FAMA telah melaksanakan lebih daripada 930 program berkaitan dengannya di sekolah, universiti awam, agensi kerajaan dan seluruh negara. Kempen di Parlimen kali ini mengetengahkan pelbagai buah-buahan tempatan seperti durian, nangka, pomelo, buah naga, dokong, jambu lohan, rambutan dan nanas.
KPKM turut menyeru rakyat Malaysia menjadikan buah-buahan tempatan sebagai pilihan utama dalam kehidupan seharian. Selain berkhasiat, buah-buahan tempatan turut menyumbang kepada pengukuhan ekonomi petani dan kelestarian industri makanan negara.
Majlis ini turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha KPKM, YBhg. Datuk Seri Isham Ishak, serta pegawai kanan bahagian, jabatan dan agensi di bawah KPKM.