Diterbitkan pada 27 Ogos 2025, 10:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani merasmikan International Rubber Industry Convention and Expo (IRICE) 2025 yang berlangsung dari 26 Ogos 2025 hingga 28 Ogos 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Acara tiga hari itu dianjurkan oleh Persatuan Pekilang-Pekilang Produk Getah Malaysia (MRPMA) dengan kerjasama Majlis Getah Malaysia (MRC) yang menghimpunkan pengeluar, pembeli, penyelidik dan penggubal dasar dari seluruh dunia.

IRICE 2025 memberikan penekanan kepada kepimpinan Malaysia dalam industri getah global serta membuka peluang kepada inovasi dan perdagangan antarabangsa.

Dalam ucapan perasmian, YB Datuk Seri Johari menegaskan bahawa Malaysia memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan getah global. Beliau turut menggariskan empat strategi utama yang akan memacu pertumbuhan dan kepimpinan industri getah negara, iaitu pengoptimuman penggunaan tanah, pengurangan kebergantungan import, peningkatan piawaian kelestarian serta pengukuhan hubungan ekonomi melalui diplomasi.

YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani berucap ketika merasmikan IRICE.

Sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang, Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan MRC akan terus memacu inovasi, membangunkan produk bernilai tinggi serta memperkukuh kolaborasi antarabangsa bagi menjadikan Malaysia sebagai peneraju global dalam industri getah.

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bersama-sama LGM dan MRC juga komited bagi memacu kelestarian, inovasi dan kepimpinan global industri getah Malaysia.

Yang turut hadir dalam majlis perasmian ini ialah Ketua Setiausaha KPK, YBhg. Dato’ Yusran Shah Mohd Yusof dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) KPK, YBhg. Dato’ Razali Mohamad.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Perladangan dan Komoditi
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi