Diterbitkan pada 26 Ogos 2025, 14:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melancarkan varieti padi baharu MR 333 yang dinamakan MENORA hasil penyelidikan saintifik terkini di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), varieti ini dibangunkan khusus untuk kawasan jelapang padi yang berpotensi menghasilkan sehingga 9.96 tan padi sehektar.

Kementerian terbabit juga menjelaskan MR 333 MENORA mempunyai kelebihan seperti tempoh matang yang singkat antara 103 hari hingga 108 hari, ketahanan terhadap penyakit dan rebah, serta berat biji yang tinggi.

“Padi ini sesuai sebagai alternatif kepada varieti popular sedia ada dan dijangka mendapat sambutan dalam kalangan pesawah,” kata kenyataan itu semalam.

Majlis pengisytiharan varieti ini disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Yang Berhormat (YB) Dato’ Seri Mohamad Sabu di Kepala Batas, Kedah. Dalam majlis tersebut, benih MR 333 turut disampaikan kepada lima pesawah terpilih di bawah Projek Peningkatan Skala Varieti Padi Baharu MARDI.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Yang Berhormat (YB) Mohamad Sabu menyampaikan geran Agropreneur Muda kepada Pesawah Projek Peningkatan Skala Varieti Padi Baharu MARDI MR 333 kepada Abu Bakar Man.

YB Mohamad Sabu turut menyampaikan Geran Agropreneur Muda bernilai RM90,000 dan Geran Projek Perintis RMK-12 bernilai RM37,140 kepada dua usahawan tani sebagai sokongan kepada pembangunan sektor pertanian negara.

Dengan pelancaran varieti MENORA, MARDI kini menghasilkan sebanyak 58 varieti padi, meliputi lebih daripada 95 peratus kawasan jelapang utama negara. Usaha ini selaras dengan Pelan Reformasi Industri Padi dan Beras Negara bagi memperkukuh keterjaminan makanan dan daya saing industri padi.

Yang turut hadir dalam majlis ini ialah Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI, Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Azman Ismail; Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Pembangunan KPKM, Yang Berbahagia (Ybhg.) Datuk Badrul Hisham Mohd; Ketua Pengarah MARDI YBhg. Dato’ Dr. Haji Mohamad Zabawi Abdul Ghani serta pegawai kanan kementerian, agensi, pesawah dan pemain industri.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi