Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui menterinya, YB Steven Sim membentangkan bacaan kali pertama Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut KESUMA, pembentangan ini menandakan titik bersejarah bagi mengiktiraf peranan penting pekerja gig dalam undang-undang perburuhan negara, di samping memastikan hak dan kebajikan mereka dilindungi secara menyeluruh.

Bermula dengan ucapan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) pada Mac 2024 berhubung dengan isu pekerja gig, KESUMA memulakan langkah proaktif dengan menjalankan Kajian Kerangka Dasar Pekerjaan dan Perundangan Pekerja di Malaysia bersama-sama pihak Universiti Malaya (UM).
Susulan itu, KESUMA menubuhkan Jawatankuasa Kerja Penggubalan RUU Pekerja Gig yang dianggotai wakil jabatan dan agensi di bawah KESUMA, selain menganjurkan 28 siri bengkel dan mesyuarat. Bagi meneliti dan memuktamadkan draf RUU tersebut, KESUMA turut mengadakan tujuh sesi perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara.
Sehingga kini, sebanyak 37 Sesi Libat Urus (SLU) telah dianjurkan bersama-sama pelbagai pemegang taruh, termasuk penggiat gig tempatan bermula 22 Oktober 2024 hingga 7 Ogos 2025.
SLU itu melibatkan dua sesi khas bersama-sama YAB Timbalan Perdana Menteri, satu sesi dialog terbuka khas bersama-sama YB Menteri Sumber Manusia, 14 sesi bersama-sama kementerian, agensi serta kerajaan Sabah dan Sarawak, 13 sesi bersama-sama pekerja gig, penyedia platform dan bukan platform, serta tujuh sesi bersama-sama pemegang taruh dan pemain industri di enam zon utama, iaitu utara, tengah, selatan, pantai timur, Sabah dan Sarawak.
Selain itu, sebanyak 485 maklum balas dalam talian turut diterima dan diambil kira dalam proses penggubalan RUU ini.
Bagi mengukuhkan usaha tersebut, KESUMA telah mengadakan Lawatan kerja Penandaarasan ke Singapura untuk meneliti pelaksanaan Platform Workers Act 2024 bersama-sama Ministry of Manpower Singapore, selain mengadakan SLU di Ibu Pejabat Grab di republik itu.
KESUMA juga menyertai perbincangan Jawatankuasa Teknikal Decent Work in the Platform Economy mengenai instrumen perburuhan antarabangsa berkaitan dengan pekerja gig dan platform ekonomi semasa Persidangan Buruh Antarabangsa (ILS) ke-113 di Geneva, Switzerland.
RUU Pekerja Gig 2025 merangkumi 10 bahagian dengan 112 fasal yang memberikan tumpuan kepada empat teras utama, iaitu definisi rasmi pekerja gig, pendapatan atau kadar bayaran, mekanisme penyelesaian pertikaian dan perlindungan sosial.
Dengan penggubalan RUU ini, Malaysia bukan sahaja melangkah setapak ke hadapan bagi memperkukuh ekosistem yang lebih adil, progresif dan inklusif, malah bakal menyertai 15 negara terawal di dunia yang memberikan definisi jelas kepada pekerja gig.
KESUMA yakin usaha ini akan menjamin masa hadapan yang lebih mapan bagi lebih daripada 1.2 juta pekerja gig di seluruh negara serta mengangkat kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara berdaya saing pada peringkat antarabangsa.