Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) bersidang kelmarin bagi membincangkan secara menyeluruh perkembangan ekonomi semasa Malaysia, terutamanya berkaitan dengan cabaran utama luaran dan dalaman.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), FPC juga bersidang bagi meneliti unjuran fiskal jangka pendek dan sederhana selaras dengan peruntukan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA).
Mesyuarat FPC dipengerusikan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
YAB Perdana Menteri menegaskan bahawa FPC memainkan peranan penting bagi memastikan hala tuju negara kekal seimbang antara kemampanan fiskal dengan pertumbuhan ekonomi. Peranan tersebut selaras dengan komitmen kerajaan terhadap tadbir urus fiskal yang berhemat dengan memastikan keperluan rakyat dan sektor perniagaan dipenuhi tanpa menjejaskan kestabilan jangka panjang.
“Ketika kerajaan MADANI melangkah ke fasa pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), ruang fiskal mesti dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan penjanaan pelaburan awam yang mampu mengubah ekonomi negara secara menyeluruh (Menaikkan Siling) dan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat (Menaikkan Lantai),” ujar YAB Perdana Menteri.
Menurut beliau lagi, kerajaan MADANI kekal teguh bagi mencapai kemampanan fiskal, di samping memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara kekal kukuh meskipun berdepan dengan cabaran perkembangan global.
Tambah beliau, ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dengan mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.4 peratus pada separuh pertama tahun 2025, manakala kadar pengangguran menurun kepada paras terendah dalam tempoh sedekad, iaitu tiga peratus.
Pada tahun 2025, ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang pada kadar antara empat peratus hingga 4.8 peratus didorong oleh permintaan domestik yang kukuh, inflasi yang sederhana serta pasaran buruh yang stabil.
Beliau berkata, pencapaian ini turut mencerminkan usaha konsolidasi fiskal kerajaan bagi mengurangkan kadar defisit fiskal berbanding dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 5.5 peratus pada tahun 2022 kepada 4.1 peratus pada tahun 2024.
Jelas beliau, mesyuarat FPC semalam turut menegaskan iltizam kerajaan untuk mengekalkan sasaran defisit fiskal 3.8 peratus pada tahun 2025 dan seterusnya mengurangkan defisit kepada tiga peratus atau lebih rendah dalam tempoh jangka sederhana, selaras dengan peruntukan di bawah FRA.
Mesyuarat FPC ini diadakan mengikut ketetapan FRA. Sejak penubuhannya, FPC memainkan peranan penting bagi membentuk strategi fiskal, memperkukuh tadbir urus pengurusan kewangan awam, serta memastikan kedudukan fiskal kerajaan kekal mampan dalam jangka sederhana dan panjang.
Pada tahun 2025, kerajaan meneruskan langkah konsolidasi melalui peluasan asas hasil serta mengoptimumkan perbelanjaan, antaranya termasuklah pelaksanaan penyasaran semula subsidi bahan api RON95.
Mesyuarat pada kali ini juga merupakan platform penting bagi menetapkan trajektori fiskal Kerajaan menjelang pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober 2025.
Selaras dengan peruntukan FRA, kerajaan MADANI sedang melaksanakan Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) bagi memperluas asas hasil negara dan mewujudkan sistem percukaian yang lebih progresif, di samping memperkukuh pematuhan terhadap amalan terbaik antarabangsa.
Bagi fasa seterusnya, kerajaan menetapkan fokus utama untuk memastikan ketirisan dapat ditangani dengan lebih berkesan, di samping meningkatkan kecekapan melalui pelaksanaan sistem e-invois secara berperingkat.
Segala usaha tersebut menzahirkan kesungguhan kerajaan untuk membina rangka kerja fiskal yang lebih adil, berdaya tahan dan mampan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang serta kesejahteraan rakyat.
Antara Ahli Jawatankuasa yang hadir pada mesyuarat tersebut termasuklah YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air; YB Menteri Kewangan II yang juga memangku tugas Menteri Ekonomi; Ketua Setiausaha Negara; Ketua Setiausaha Perbendaharaan; Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi dan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) serta pegawai kanan kerajaan.