Diterbitkan pada 12 Ogos 2025, 10:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Incheon – YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengetuai delegasi Malaysia ke 10th Asia Pacific Economic Cooperation Food Security Ministerial Meeting (FSMM ke-10) yang berlangsung di Incheon, Korea Selatan pada 10 Ogos 2025.

Mesyuarat bertemakan “Building a Sustainable Tomorrow” memberikan tumpuan kepada tiga bidang keutamaan, iaitu Connect, Innovate dan Prosper.

FSMM ke-10 menjadi platform penting bagi pertukaran pandangan dan pengalaman berkaitan dengan inovasi dalam sistem pertanian, di samping membincangkan kerjasama untuk mencapai keterjaminan makanan mampan.

Perbincangan turut menitikberatkan aspek kemampuan, inovasi pintar dan penjalinan hubungan global mengikut keutamaan ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) bagi membangunkan sistem makanan lestari.

YB Menteri turut menyampaikan intervensi semasa sesi perbincangan meja bulat dengan menekankan keperluan mengenal pasti keutamaan bersama serta memperkukuh kerjasama bagi mencapai matlamat keterjaminan makanan di rantau ini. Beliau turut menegaskan kepentingan inovasi dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh sistem makanan.

YB Menteri KPKM berucap semasa sesi perbincangan meja bulat.

Dalam konteks global, Malaysia menekankan kebimbangan terhadap isu keterjaminan makanan dunia yang semakin meruncing akibat konflik, bencana iklim dan ketidakstabilan ekonomi. Situasi di Sudan dan Gaza yang berdepan risiko kelaparan serius menuntut tindakan antarabangsa yang lebih tegas. Malaysia berpendirian teguh bersama-sama komuniti antarabangsa bagi menggesa tindakan segera dan menyalurkan bantuan kemanusiaan secara berkesan.

YB Menteri turut mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar Korea Selatan, PYT Song Miryung. Pertemuan tersebut mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk terus memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pertanian.

YB Menteri KPKM mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar Korea Selatan.

Antara perkara utama yang dibincangkan termasuklah potensi kerjasama dalam bidang penyelidikan, pemodenan sektor pertanian dan pembangunan modal insan. Perbincangan turut merangkumi aspek pendaftaran dan pemantauan racun biopestisid, selain penggunaan AI dalam pengesanan serangan perosak tanaman padi.

YB Menteri juga menjemput pihak Korea Selatan menghadiri High-Level Advisory Group (HLAG2025) bersempena dengan penganjuran 4th World Irrigation Forum (WIF4) dan 76th International Executive Council (IEC) Meeting of the International Commission on Irrigation and Drainage (ICID) yang dijadualkan berlangsung pada September 2025 di Kuala Lumpur.

Forum ini bertujuan membentuk dasar bagi menangani kesan perubahan iklim, peningkatan permintaan sumber air serta penggunaan teknologi bagi sistem pengairan mampan. Beliau turut mengalu-alukan penyertaan Korea Selatan dalam pameran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) serta Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2025.

Delegasi KPKM turut disertai oleh Chargé d’Affaires, Kedutaan Besar Malaysia di Seoul, Encik Nazarudin Ja’afar; Ketua Pengarah Pertanian, YBhg. Dato’ Nor Sam Alwi, serta pegawai kanan KPKM.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi