Diterbitkan pada 12 Ogos 2025, 10:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat kepada USD121.3 bilion pada 31 Julai 2025, iaitu paras tertinggi dalam tempoh 10 tahun, sekali gus mencerminkan kedudukan kewangan negara yang semakin kukuh dan stabil.

BNM dalam kenyataan berkata, daripada jumlah tersebut, aset rasmi Malaysia merangkumi rizab mata wang asing, bahagian khas dalam Pertubuhan Kewangan Antarabangsa (SDR), rizab emas dan kedudukan rizab dalam Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berjumlah sekitar USD120.61 bilion sehingga akhir Jun 2025, iaitu peningkatan USD0.7 bilion berbanding dengan bulan Jun 2025.

Sebahagian besar pertumbuhan itu disumbangkan oleh rizab mata wang asing yang meningkat kepada USD107.7 bilion. Sementara itu, SDR (USD5.9 bilion), emas (USD4.1 bilion) dan kedudukan rizab IMF (USD1.3 bilion) kekal stabil.

Paras rizab ini mencukupi untuk menampung 4.8 bulan import barangan dan perkhidmatan, serta meliputi 0.9 kali hutang luar jangka pendek, sekali gus memperkukuh keyakinan terhadap keupayaan Malaysia menghadapi tekanan luaran.

Menurut Kenanga Investment Bank Berhad, berdasarkan rizab yang kukuh dan dasar kewangan yang berhati-hati, BNM dijangka tidak akan menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang kini pada 2.75 peratus. Bank itu turut mengunjurkan ringgit kekal sekitar RM4.08 berbanding dengan dolar Amerika Syarikat menjelang akhir tahun 2025 yang disokong oleh kestabilan makroekonomi dan langkah fiskal, meskipun berdepan risiko seperti cadangan tarif AS terhadap import semikonduktor.

Kedudukan rizab antarabangsa yang kukuh ini bukan sahaja mencerminkan ketahanan ekonomi negara, tetapi turut meningkatkan keyakinan pelabur terhadap keupayaan Malaysia bagi mendepani ketidaktentuan global.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi