Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Legasi tokoh akademik dan ekonomi ulung negara, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz diperingati dan diraikan melalui Sayembara Sajak dan Poster Digital yang bertemakan “Mengenang Ungku Aziz: Monumen Minda, Warisan Bangsa”.
Acara anjuran Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC) dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) itu diadakan di Perpustakaan Peringatan Za’ba, Universiti Malaya pagi tadi.
Majlis ini disempurnakan dengan kehadiran beberapa tokoh penting, antaranya termasuklah Penasihat UAC, YBhg. Dato’ Sri Mustapa Mohamed; Pengarah UAC, YBhg. Datin Sri Profesor Dr. Suhaiza Hanim Dato’ Mohamad Zailani; Presiden ANGKASA, YBhg. Datuk Seri Dr. Hj. Abdul Fattah Hj. Abdullah; Pengarah Negeri BSN Kuala Lumpur, YBrs. Encik Mohd Hafis Hashim serta Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa.
Majlis dimulakan dengan mengimbau jasa besar Ungku Abdul Aziz yang terkenal dengan sumbangan terhadap pembangunan luar bandar, peningkatan taraf ekonomi rakyat serta kebajikan masyarakat.
Dalam ucapannya, Presiden ANGKASA menegaskan bahawa gerakan koperasi yang pernah dipelopori oleh Ungku Aziz bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, tetapi juga berperanan besar dalam pembangunan sosial dan budaya masyarakat. Menurut beliau, koperasi hari ini terus menjadi platform bagi meningkatkan pendapatan rakyat serta memperkukuh semangat kerjasama melalui pendekatan inovatif berteraskan teknologi.
Acara kemuncak majlis ialah pengumuman pemenang bagi kedua-dua kategori yang dipertandingkan.
Dalam kategori sajak, enam peserta menerima hadiah sagu hati berupa RM500 dan sijil, iaitu Dhianisya Amalin Putri Dazri, Mohd Fadzly Hj. Miswan, Maxsenjay Mathew, Nurul Fatin Abdullah, Muhammad Nafees Mifzal Zamirudin, Nasrin Afrina Afzanizam Amiza dan Ilham Hakim Norlisham. Tempat ketiga disandang oleh Muhammad Afif Ikhwan Saiful Harizal yang membawa pulang hadiah RM1,000 berserta sijil, manakala Nurul Izzah Andah meraih tempat kedua dengan ganjaran RM1,200 dan sijil. Gelaran juara dimenangi oleh Elvienie Petrus yang menerima hadiah RM1,400 berserta sijil.
Bagi kategori poster digital, tujuh penerima hadiah sagu hati diumumkan, iaitu Ahmad Naufal Ab. Rahman Thobroni, Sharil Nizam Sha’ri, Lee Min Hui, Nur Dania Eryna Mohammad Faizal, Siti Nur Ain, Muhamad Hafiz Hassan dan Khairul Azuan Mohammad Razali. Tempat ketiga dimenangi oleh Naim Zofri Mohd Farizal yang menerima RM1,000 dan sijil, diikuti tempat kedua yang dikongsi oleh Ramlan Sulaiman dan Noorhisyam Jasmin dengan hadiah RM1,200 dan sijil. Gelaran juara pula menjadi milik Mohamad Firdaus Abdul Halim yang membawa pulang hadiah RM1,400 berserta sijil penghargaan.
Sayembara ini bukan sahaja menjadi wadah pengiktirafan kepada bakat sastera dan seni digital generasi muda, malah turut menyemarakkan semangat cintakan ilmu dan budaya. Selain itu, sayembara ini turut menjadi platform penting untuk meneruskan legasi Ungku Abdul Aziz bagi membentuk minda bangsa yang berdaya maju, berilmu dan berbudaya.