Diterbitkan pada 30 Julai 2025, 16:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) mengenal pasti 5,800 pembayar cukai yang gagal mematuhi pengemukaan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) melalui pelaksanaan e-Invois dari 1 Ogos 2024.

Berdasarkan maklumat pengemukaan e-Invois, HASiL telah mengambil tindakan awal terhadap pembayar cukai yang gagal melaporkan pendapatan yang telah diterima.

Melalui tindakan tersebut, kesemua pembayar cukai telah tampil mengemukakan BNCP dan melaporkan pendapatan bagi tahun taksiran ke belakang sebanyak RM484 juta yang menyumbang kepada hasil cukai tambahan sebanyak RM82 juta.

HASiL sentiasa memantau secara aktif data pembayar cukai yang telah disahkan dalam sistem MyInvois untuk memastikan pematuhan cukai dilaksanakan secara sukarela dan berterusan, selaras dengan prinsip keadilan dalam sistem percukaian negara.

Sehubungan dengan itu, pembayar cukai perlu sentiasa mengemas kini rekod cukai mereka dan memastikan pematuhan sepenuhnya bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan diambil oleh pihak HASiL.

Sehingga 30 Julai 2025, sekitar 413 juta e-Invois telah dikeluarkan secara keseluruhan. Penyertaan lebih daripada 83 ribu pembayar cukai ini melibatkan pembayar cukai fasa pertama hingga fasa ketiga yang melaksanakan e-Invois secara mandatori termasuk pembayar cukai fasa keempat dan fasa kelima secara sukarela. Hal ini menunjukkan tahap penerimaan yang baik oleh pembayar cukai bagi mematuhi pelaksanaan e-Invois.

HASiL juga  mengingatkan  pembayar cukai yang telah tamat tempoh kelonggaran agar melaksanakan e-Invois sepenuhnya mengikut garis panduan e-Invois.

HASiL turut menyediakan pelbagai saluran komunikasi bagi membolehkan pembayar cukai mengemukakan sebarang pertanyaan berkaitan dengan pelaksanaan e-Invois.

Pembayar cukai boleh mendapatkan bantuan khidmat nasihat pelaksanaan e-Invois dengan berkunjung ke Pejabat HASiL dan menghubungi Meja Bantuan e-Invois HASiL menerusi talian 03-8682 8000 yang beroperasi 24 jam sehari.

Selain itu, pengguna boleh mengakses MyInvois Live Chat atau menghantar e-mel ke alamat myinvois@hasil.gov.my bagi sebarang pertanyaan umum berkaitan dengan e-Invois. Pembayar cukai juga boleh mengisi Borang Maklum Balas Pelanggan MyInvois yang boleh didapati menerusi pautan https://feedback.myinvois.hasil.gov.my.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi