Diterbitkan pada 21 Julai 2025, 18:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melaka – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) meneruskan pelaksanaan siri Operasi Pematuhan Cukai Peringkat Nasional dikenali sebagai “OP Tuah” yang dijalankan secara serentak bermula 21 Julai 2025 hingga 25 Julai 2025 di Melaka, Negeri Sembilan, Kedah dan Perlis.

Pelaksanaan OP Tuah melibatkan enam aktiviti operasi percukaian utama, iaitu aktiviti audit, pungutan, verifikasi pembayar cukai, pematuhan strategik, guaman dan Mini Jelajah e-Invois.

Tumpuan operasi lima hari ini meliputi pelbagai sektor industri termasuk kontraktor, pemaju, pengangkutan, pengiklanan, pemborong, pembinaan, kejuruteraan, hartanah, pengangkutan, pertanian, klinik, e-sisa, rokok elektonik dan badan profesional.

Operasi bersepadu ini melibatkan sebanyak 346 pegawai HASiL yang merentasi empat negeri dengan sasaran sebanyak 1,829 kes untuk tindakan penguatkuasaan.

Seiring dengan usaha mendepani arus pendigitalan sistem percukaian negara, OP Tuah turut dimanfaatkan dengan memberikan penerangan secara langsung kepada pembayar cukai menerusi pelaksanaan Mini Jelajah e-Invois.

Inisiatif tersebut bukan sahaja bertujuan meningkatkan kefahaman dan tahap kesediaan pembayar cukai terhadap sistem digital baharu, malah turut menyokong peralihan secara holistik ke arah persekitaran percukaian yang lebih efisien, telus dan responsif.

Dalam ucapan perasmian di Menara HASiL Melaka, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan), YBhg. Datuk Hisham Rusli menyatakan bahawa pelaksanaan operasi ini memperlihatkan semangat dan keupayaan HASiL merentas fungsi serta memastikan ekosistem percukaian negara terus kekal telus, adil dan saksama.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan), YBhg. Datuk Hisham Rusli ketika berucap dalam Majlis Perasmian OP Tuah.

Pelaksanaan OP Tuah mencerminkan komitmen HASiL bagi memperkukuh landskap percukaian dan menangani isu ketidakpatuhan cukai selaras dengan aspirasi negara ke arah kemampanan hasil dan kestabilan ekonomi.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Pematuhan Cukai, YBrs. Encik Mohamad Fauzi Saat; Ketua Pegawai Siasatan, YBhg. Dato’ Azhar Husin; Pengarah HASiL Melaka, YBrs. Encik Mohd Shahriz Ramli dan barisan pengurusan kanan HASiL.

TKPE (Pematuhan) bergambar kenang-kenangan bersama-sama dengan para petugas OP Tuah.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas, sila hubungi HASiL menerusi:

  1. Hasil Contact Centre (HCC) melalui talian 03-89111000/603-89111000 (Luar Negara);
  2. HASiL Live Chat; dan
  3. Borang Maklum Balas menerusi portal rasmi HASiL melalui pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi