Diterbitkan pada 14 Julai 2025, 10:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Penampang – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang berada dalam fasa akhir bagi menggubal dan memuktamadkan Dasar Pengguna Negara (DPN) 2.0.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Datuk Armizan Mohd Ali berkata, DPN 2.0 akan dijadikan sebagai rujukan utama kepada semua pihak berkepentingan bagi melaksanakan inisiatif dan aktiviti kepenggunaan di negara ini.

Dasar itu akan memperincikan peranan dan tanggungjawab setiap pihak berkepentingan sama ada secara langsung atau tidak langsung berkaitan dengan pengguna.

Tambah beliau, hubungan antara pelbagai pihak berkepentingan ini penting bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan undang-undang perlindungan pengguna serta penyampaian maklumat tepat dan menyeluruh ke arah pembentukan pengguna Malaysia berdaya upaya.

DPN 2.0 dirangka bagi memperkukuh kesiapsiagaan bagi menghadapi cabaran semasa dalam ekosistem kepenggunaan termasuk kelonggaran dalam aspek kawal selia dan penguatkuasaan serta tahap celik pengguna yang rendah sehingga terdedah kepada eksploitasi.

Selain itu, penggunaan produk yang tidak mematuhi standard keselamatan atau tidak mesra alam, penipuan dalam transaksi pembelian dan penyalahgunaan teknologi digital termasuk kecerdasan buatan (AI) juga menjadi cabaran dalam ekosistem kepenggunaan kini.

DPN 2.0 turut memberikan penekanan terhadap isu kos sara hidup rakyat melalui pendekatan dasar inklusif dan responsif. Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuklah Program Payung Rahmah MADANI, peluasan penggunaan Portal Ihsan MADANI sebagai rujukan maklumat harga dan barangan keperluan serta penggunaan indikator kos sara hidup sebagai panduan perbelanjaan pengguna.

Sementara itu, Skuad Kita Pengguna (SKiP) akan digerakkan sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat bagi menangani isu kepenggunaan secara lebih responsif dan inklusif sekali gus menjadi teras kepada keberkesanan pelaksanaan DPN2.0.

Beliau berkata, KPDN menyasarkan untuk mencapai jumlah pendaftaran ahli SKiP sebanyak 25,000 orang menjelang akhir tahun ini. Ahli ini berperanan untuk menggerakkan advokasi kepenggunaan di seluruh negara.

Bagi menyokong agenda pemerkasaan pengguna, KPDN menganjurkan Festival Kepenggunaan 2025 yang berlangsung selama tiga hari dari 11 Julai 2025 hingga 13 Julai 2025 di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC), Penampang, Sabah. Program ini merupakan acara kemuncak bagi sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2025.

Festival yang bertemakan “Semarak Konsumerisme” itu disertai pelajar sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti dari seluruh negara.

Pada masa yang sama, penganjuran program itu juga sebagai platform penting untuk mengumpulkan syor dan pandangan berkaitan dengan DPN 2.0 yang akan menjadi antara input bagi memuktamadkan penggubalan dasar kepenggunaan.

Kredit Foto: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi