Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus.
Seiring dengan penurunan tersebut, kadar siling dan kadar lantai bagi koridor OPR turut dikurangkan masing-masing kepada tiga peratus dan 2.5 peratus.
Penurunan ini merupakan kali pertama selepas bank pusat mengekalkan kadar itu sebanyak 12 kali sejak Mei 2023.
BNM menjelaskan ekonomi global ketika ini terus berkembang, disokong oleh perbelanjaan pengguna yang masih kukuh dan beberapa aktiviti yang dilaksanakan lebih awal.
Unjuran menunjukkan ekonomi global dijangka terus berkembang, disokong oleh keadaan pasaran buruh yang positif, dasar kewangan yang lebih longgar dan sokongan kerajaan melalui perbelanjaan (rangsangan fiskal).
Namun begitu, prospek ini masih dibayangi ketidaktentuan berhubung dengan perkembangan tarif dan ketegangan geopolitik. Ketidaktentuan ini juga boleh menyebabkan turun naik dalam pasaran kewangan global dan harga komoditi.
Menurut BNM, perkembangan terkini menunjukkan pertumbuhan aktiviti ekonomi negara yang berterusan pada suku kedua, didorong oleh permintaan domestik yang kukuh dan pertumbuhan eksport.
Pada masa hadapan, pertumbuhan ekonomi dijangka terus disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan. Pertumbuhan pekerjaan dan upah, khususnya dalam sektor yang berorientasikan domestik dan langkah dasar berkaitan dengan pendapatan akan terus menyokong perbelanjaan isi rumah.
Selain itu, aktiviti pelaburan dijangka berkembang hasil kemajuan projek dalam sektor swasta dan awam, pelaksanaan pelaburan yang diluluskan dan pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah pelan induk nasional.
BNM turut menjangkakan eksport Malaysia akan mendapat manfaat daripada permintaan berterusan terhadap barangan elektrik dan elektronik (E&E), aktiviti pelancongan yang semakin rancak, dasar propertumbuhan di negara ekonomi utama dan rundingan perdagangan yang positif.
Namun begitu, BNM memaklumkan bahawa terdapat beberapa risiko yang boleh menjejaskan unjuran pertumbuhan, terutamanya disebabkan oleh perdagangan global yang perlahan, sentimen yang lemah dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.
Dari segi inflasi, kadar keseluruhan dan teras masing-masing mencatatkan purata 1.4 peratus dan 1.9 peratus dalam lima bulan pertama tahun ini.
Secara keseluruhan, inflasi pada tahun 2025 dijangka kekal sederhana berikutan kos global yang terkawal dan ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan dalam negara.
BNM juga menjangkakan tekanan inflasi daripada harga komoditi global akan kekal rendah, sekali gus membantu mengekalkan kos dalam negara pada tahap sederhana. Dalam keadaan ini, kesan daripada pembaharuan dasar domestik yang diumumkan dan akan datang terhadap inflasi dijangka dapat dikawal.
Mengenai prestasi ringgit pula, BNM menjangkakan mata wang tempatan akan terus dipengaruhi oleh faktor luaran. Walau bagaimanapun, prospek ekonomi Malaysia yang positif, pembaharuan struktur domestik dan usaha menarik pelaburan asing dijangka terus menyokong kestabilan ringgit.
Walaupun ekonomi domestik berada pada landasan yang kukuh, ketidaktentuan global masih boleh menjejaskan pertumbuhan negara. Oleh itu, pengurangan OPR ini merupakan langkah awal yang bersifat berjaga-jaga untuk memastikan pertumbuhan negara kekal stabil dalam keadaan inflasi yang sederhana.
BNM juga menegaskan bahawa MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko terhadap pertumbuhan ekonomi dan inflasi dari semasa ke semasa.