Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPetaling Jaya – Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyempurnakan Sesi Dialog Industri Sawit bersama-sama 56 pembeli dan perwakilan antarabangsa dari 23 negara sempena Program Lawatan Rangkaian Perdagangan anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).
Dalam ucapannya, YB Datuk Seri Johari menekankan kepentingan memperluas pasaran baharu melalui pendekatan bersasar, meningkatkan nilai tambah sektor hiliran seperti oleokimia dan nutrisi serta memperkukuh pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sebagai kelebihan strategik.
Beliau turut menyeru kerjasama erat antara pihak kerajaan dengan sektor swasta bagi memastikan industri sawit kekal mampan dan berdaya saing pada peringkat global.
YB Datuk Seri Johari juga menyifatkan sesi dialog ini sebagai medan penting untuk mendapatkan maklum balas langsung daripada pembeli luar negara berhubung dengan keperluan pasaran dan cabaran semasa.
Sesi dialog ini turut merangkumi taklimat industri oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Persatuan Penapis Minyak Sawit Malaysia (PORAM) dan MSPO serta lawatan ke ladang dan kilang sawit.

Selain itu, program ini turut merangkumi sesi padanan perniagaan antara pembeli antarabangsa dengan 25 pembekal tempatan yang melibatkan lebih daripada 400 slot mesyuarat diadakan sepanjang program berlangsung.
Yang turut hadir dalam sesi dialog ini ialah Ketua Setiausaha KPK, YBhg. Dato’ Yusran Shah Mohd Yusof; Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi), YBhg. Dato’ Razali Mohamad; dan Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, YBrs. Puan Belvinder Sron.