Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Perikatan Global Jepun untuk Rantaian Bekalan Mampan (ASSC) bagi meningkatkan permintaan dan memperluas akses pasaran minyak sawit yang diperakui MSPO ke seluruh sektor perindustrian premium Jepun.
Kerjasama strategik ini membuka peluang baharu kepada pengeluar Malaysia untuk berhubung terus dengan syarikat Jepun yang komited terhadap sumber bertanggungjawab termasuk Ajinomoto, Takasago dan Shiseido. Usaha ini dijangka memperkukuh kedudukan MSPO dalam ekosistem perolehan mampan Jepun yang memberikan penekanan terhadap kualiti dan kelestarian.
Di bawah MoU tersebut, MSPO dan ASSC akan melaksanakan pelbagai inisiatif bersama seperti bengkel pembangunan kapasiti, pembangunan sistem keberkesanan jejak rantaian bekalan, kempen advokasi bersepadu dan promosi akses pasaran untuk produk minyak sawit bertauliah MSPO.
Audit pensijilan MSPO yang bebas dan berpandukan piawaian antarabangsa terus memastikan kredibiliti, ketelusan dan pematuhan kepada amalan terbaik dalam perlindungan alam sekitar, hak pekerja dan tadbir urus.
Kerjasama ini dijangka memperkukuh daya saing eksport minyak sawit Malaysia ke Jepun sejajar dengan komitmen negara menyokong matlamat pembangunan lestari global dan memenuhi permintaan pengguna yang semakin menitikberatkan produk bertanggungjawab.