Diterbitkan pada 5 Julai 2025, 10:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya  – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu telah mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Food and Agriculture Organization (FAO) ke-44 yang berlangsung di Itali.

Beliau tiba di Rom pada 29 Jun 2025 untuk menyertai persidangan dwitahunan yang membincangkan isu dasar serta perancangan strategik FAO bagi tempoh tahun 2026 hingga tahun 2027.

Persidangan yang bermula dari 28 Jun 2025 hingga 4 Julai 2025 itu menyaksikan YB Menteri menyampaikan kenyataan negara menerusi sesi General Debate pada 30 Jun dengan tema “Fostering Innovation for Food Security”.

Dalam kenyataan tersebut, beliau menegaskan komitmen Malaysia menyokong usaha FAO menangani isu keterjaminan makanan dan perubahan iklim melalui adaptasi teknologi serta inovasi terkini.

Inisiatif ini bertujuan meningkatkan produktiviti pengeluaran makanan dan menyokong matlamat pembangunan mampan (SDG) menjelang tahun 2030. Beliau turut menegaskan pendirian Malaysia yang menentang keras penggunaan kelaparan sebagai senjata perang.

Pada 1 Julai 2025, YB Menteri turut mengadakan pertemuan bersama-sama Ketua Pengarah FAO, TYT Qu Dongyu untuk membincangkan hala tuju kerjasama strategik dalam bidang pertanian termasuk aspek pembangunan kapasiti antara Malaysia dengan FAO.

YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu bertemu dengan TYT Qu Dongyu.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), YBhg. Datuk Seri Isham Ishak turut menyampaikan intervensi semasa sesi perbincangan meja bulat pada 1 Julai 2025 dan 2 Julai 2025 yang berfokus pada tema “Four Betters”, iaitu “Better Production, Better Nutrition, Better Environment dan Better Life”.

Beliau juga melaksanakan proses undian bagi pemilihan Independent Chairperson of the Council (ICC) serta cadangan bajet FAO bagi tempoh tahun 2026 hingga tahun 2027.

Persidangan kali ini turut menyaksikan pemilihan negara bagi kerusi Ahli Majlis FAO (FAO Council) bagi tempoh tahun 2026 hingga 2028. Malaysia berjaya mengekalkan kerusi secara perkongsian dengan Thailand bagi tempoh dua tahun bermula 1 Julai 2026 sehingga berakhirnya sesi ke-46 FAO Council pada tahun 2029. Usaha ini dicapai menerusi kerjasama rapat antara negara rantau Asia seperti Thailand, Indonesia, Sri Lanka, India dan Pakistan.

Delegasi KPKM turut disertai oleh Setiausaha Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik KPKM, YBrs. Encik Shahril Faizal Abdul Jamil serta pegawai kanan kementerian tersebut.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi