Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Kewangan (MOF) bersetuju memberikan kemudahan kepada pihak industri dalam tempoh peralihan perubahan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) susulan maklum balas dan permohonan yang diterima daripada pihak industri.
Menurut MOF, Kerajaan MADANI prihatin terhadap persediaan pentadbiran yang perlu dilaksanakan oleh penyedia perkhidmatan bercukai di bawah peluasan skop SST mulai 1 Julai 2025.
Kerajaan MADANI memahami bahawa pembekal perkhidmatan memerlukan masa tambahan untuk menaik taraf sistem bagi pematuhan dan pengenaan cukai.
Oleh itu, kerajaan memberikan kelonggaran untuk mengemukakan penyata secara manual bagi tempoh bercukai dari 1 Julai hingga 30 September 2025. Walau bagaimanapun, Cukai Perkhidmatan (CP) masih wajib dikenakan dan dikutip dalam tempoh tersebut.
Menurut MOF, pendaftaran awal secara sukarela telah dibuka oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk membolehkan pengilang mendaftar lebih awal sebelum pelaksanaan.
Oleh itu, pengilang yang telah berdaftar diwajibkan mengenakan dan mengutip Cukai Jualan (CJ) mulai 1 Julai 2025 dan layak memohon pengecualian terhadap bahan mentah yang digunakan dalam pengilangan barang bercukai.
Selain itu, syarikat yang telah menerima pengecualian CJ melalui Jawatankuasa Pengecualian Cukai (JPC), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebelum 1 Julai 2025 akan terus menikmati pengecualian tersebut tertakluk pada tempoh dan syarat yang telah ditetapkan.
Namun begitu, sekiranya syarikat berkenaan mengilang barang siap bercukai selepas 1 Julai 2025 dan telah mencapai nilai ambang yang ditetapkan, mereka diwajibkan mendaftar sebagai pengilang berdaftar dan boleh memohon pengecualian melalui portal MySST menerusi pautan mysst.customs.gov.my.
MOF berharap kemudahan ini akan terus membantu melancarkan urusan perniagaan dan memudahkan pematuhan oleh syarikat yang terlibat dalam peluasan skop SST.
Untuk maklumat lanjut, orang awam dan para peniaga boleh menghubungi Pusat Panggilan SST Jabatan Kastam Diraja Malaysia melalui talian, 03-83237406 atau sambungan 7407/7409/7412/7414/7415/7416/7417, atau talian penting (hotline) Kastam melalui 1-300-888-500.