Diterbitkan pada 28 Jun 2025, 15:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) Bilangan 1 Tahun 2025 memberikan tumpuan pada inisiatif strategik bagi memperkukuh keterjaminan makanan negara serta merancakkan pertumbuhan sektor pertanian dan agromakanan.

Mesyuarat yang telah bersidang pada 16 Jun lalu dipengerusikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Antara keputusan utama mesyuarat termasuklah pelarasan kadar insentif pembajakan daripada RM100 kepada RM160 per hektar per musim dan pemberian insentif baharu bagi penuaian sebanyak RM50 per hektar per musim kepada pesawah. Pembayaran insentif ini dijangka selesai sepenuhnya sebelum 31 Julai 2025.

Selain itu, pelbagai langkah lain turut dibincangkan termasuk strategi untuk meningkatkan kadar sara diri (SSR) daging lembu dan kerbau sebagai sebahagian daripada usaha menjamin kemampanan bekalan makanan negara.

Kerajaan turut menyambut baik pembangunan Malaysian Food Composition Database (MyFCD) yang akan berperanan sebagai komponen strategik dalam pelaksanaan Dasar Keterjaminan Makanan Negara.

Dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap import, mesyuarat turut bersetuju secara prinsip untuk meneroka strategi mengurangkan pergantungan kepada jagung bijian import. Cadangan pindaan terhadap Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 (Akta 634) juga akan dilaksanakan bagi memperkukuh perlindungan terhadap varieti tumbuhan baharu di negara ini.

Di samping itu, dapatan daripada Laporan Interim Banci Pertanian 2024 akan dimanfaatkan untuk merangka perancangan dasar yang lebih berfokus bagi memacu pertumbuhan sektor pertanian negara.

Sebagai langkah memodenkan sektor pertanian, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersama-sama Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan memperkenalkan silibus baharu Remote Pilot Certificate of Competency Agriculture Light (RCOC-AL) khusus untuk pengendali persendirian dron atau sistem pesawat tanpa pemandu (UAS).

KPKM menegaskan komitmennya untuk terus melakar dasar dan inisiatif progresif ke arah menjamin masa hadapan pertanian negara yang mampan dan keterjaminan makanan yang lestari.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi