Diterbitkan pada 28 Jun 2025, 17:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Seminar Industri Nanas Antarabangsa 2025 yang diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Nanas Malaysia 2025 bertujuan memajukan industri nanas negara, meningkatkan produktiviti dan memperkukuh kualiti pengeluaran tempatan agar berdaya saing pada peringkat global.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Arthur Joseph Kurup telah merasmikan seminar ini pada hari ini yang berlangsung di Hotel Thistle, Johor Bahru.

Seminar berprestij ini menghimpunkan lebih daripada 400 peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk wakil agensi kerajaan, swasta, institusi akademik, usahawan tempatan dan wakil antarabangsa.

Bertemakan “Kuantiti Lokal, Kualiti Global”, seminar ini menjadi platform kepada penyelidik, pendidik, pekebun nanas, pengusaha produk hiliran nanas, pemain agropelancongan serta syarikat besar dan kecil untuk berkongsi pandangan serta bertukar idea.

Menurut YB Datuk Arthur, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) termasuk lapan program utama yang melibatkan keseluruhan rantaian nilai nanas daripada penanaman sehingga eksport. Nilai keseluruhan program ini melebihi RM129 juta.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) pula, beberapa sasaran telah digariskan untuk dicapai menjelang tahun 2030. Antara sasaran utama termasuklah meningkatkan nilai eksport produk nanas sebanyak lima kali ganda, memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus usahawan mencapai pendapatan melebihi RM10,000 sebulan dan melahirkan lebih daripada 6,400 usahawan nanas baharu.

Dengan kerjasama erat semua pihak yang terlibat, industri nanas negara diyakini akan terus berkembang pesat. Perkembangan ini bukan sahaja meliputi aspek pengeluaran dan pemasaran, malah turut merangkumi penghasilan produk hiliran yang bernilai tinggi. Usaha bersepadu ini selari dengan matlamat untuk menjadikan nanas sebagai simbol kejayaan pertanian moden yang mampan dan berdaya saing pada peringkat global.

Majlis perasmian seminar turut diserikan dengan kehadiran beberapa tokoh penting dalam industri pertanian negara, antaranya Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), YBrs. Tuan Haji Sheikh ‘Umar Bagharib Ali; Presiden Persatuan Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM), YBhg. Dato’ Raihan Sharif; Ketua Pengarah LPNM, YBrs. Tuan Mohd Khairuzamri M. Salleh; dan Pengerusi Persatuan Alumni UPM, YBhg. Dato’ Syed Abd Rahman Syed Abd Rashid.

Kehadiran mereka mencerminkan komitmen padu pelbagai pihak dalam memperkukuh ekosistem industri nanas negara, sekali gus memperluas potensi Malaysia sebagai pemain utama dalam pasaran nanas dunia.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi