Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) bagi menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta dan inflasi perubatan.
Menurut MOF dan KKM dalam satu kenyataan bersama, jawatankuasa yang mengadakan mesyuarat pertamanya semalam akan menyelaras pendekatan menyeluruh untuk merangka dan melaksanakan langkah secara kolaboratif sejajar dengan penjagaan kesihatan berasaskan nilai.
Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad akan mempengerusikan JBMKKS secara bersama-sama dengan keanggotaan terdiri daripada wakil MOF, KKM dan Bank Negara Malaysia (BNM).
Jawatankuasa ini akan disokong oleh Majlis Perundingan yang memberikan input dan nasihat teknikal yang dianggotai oleh wakil utama dalam ekosistem penjagaan kesihatan swasta termasuk hospital swasta, profesional kesihatan, penyedia insurans dan pengendali Takaful, kumpulan advokasi pengguna, dan pihak akademik.
Menurut kenyataan itu, JBMKKS ditubuhkan atas usaha yang telah dijalankan sebelum ini termasuk pelaksanaan keperluan pembayaran bersama oleh BNM, langkah interim bagi mengurangkan impak pelarasan premium perubatan kepada pemegang polisi yang terkesan dari tahun 2024 hingga tahun 2026 dan kerangka RESET.
RESET merangkumi lima teras strategik untuk menangani inflasi perubatan, iaitu menyusun semula Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), meningkatkan ketelusan harga, memperkukuh ekosistem Kesihatan Digital, mengembangkan pilihan penjagaan kos efektif dan menyusun semula pembayaran penyedia perkhidmatan kesihatan.
RESET telah mendapat sokongan yang meluas daripada MOF, KKM, BNM dan pihak industri yang utama sebagai kerangka strategik untuk menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan dan insurans swasta.
MOF dan KKM berkata, jawatankuasa itu akan menjadi platform utama untuk membimbing dan memantau pelaksanaan inisiatif di bawah RESET. Kerja untuk melaksanakan inisiatif penting ini telah bermula, khususnya dalam pembangunan produk asas MHIT yang mengimbangi antara kemampuan dengan kemampanan, pembangunan sistem pembayaran berdasarkan Kumpulan Berkaitan Diagnostik (DRG) untuk pelaksanaan secara berfasa dan peningkatan ketelusan maklumat harga.
Bagi pemegang polisi insurans perubatan sedia ada, langkah ini bertujuan memastikan ketelusan harga yang lebih baik dan pada masa yang sama menawarkan pilihan yang lebih mampu milik.
Sepanjang tempoh jawatankuasa ini berkuat kuasa, langkah untuk memperluas akses kepada penjagaan kesihatan swasta yang mampu milik akan diteruskan, termasuk memperkukuh peranan penjagaan kesihatan primer dan kesinambungan penyedia penjagaan kesihatan berasaskan langkah yang telah diumumkan sebelum ini seperti inisiatif Rakan KKM.
Sementara itu, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, peningkatan kos penjagaan kesihatan merupakan kebimbangan utama rakyat Malaysia dan kerajaan MADANI mengambil langkah proaktif untuk menanganinya.
Jelas beliau,
Jawatankuasa bersama ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam membentuk sistem penjagaan kesihatan swasta yang mampan, telus dan benar-benar memberikan nilai.
Tambah beliau, pada asasnya usaha ini adalah untuk melindungi kesejahteraan rakyat Malaysia dan mengukuhkan daya tahan negara.
YB Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad pula berkata, kerangka RESET yang dibangunkan secara bersama ini turut merangkumi usaha KKM yang sedang dan akan dilaksanakan untuk memperkukuh sistem penjagaan kesihatan Malaysia untuk semua.
Jelas beliau,
Kerangka ini turut mencerminkan komitmen secara menyeluruh untuk melaksanakan penyelesaian seperti penjagaan berasaskan nilai yang mengutamakan hasil kesihatan melalui pelaksanaan berfasa DRG dan peluasan pilihan penjagaan kesihatan dengan harga yang berpatutan untuk rakyat. Inisiatif sebegini akan memberikan manfaat nyata kepada semua rakyat Malaysia melalui pengurangan kesesakan dan kepadatan di hospital dan klinik awam.
JBMKKS sedar bahawa kejayaan pelaksanaan inisiatif RESET yang menyeluruh bergantung pada kerjasama pelbagai pihak.
Oleh itu, Majlis Perundingan amat penting dalam mengukuhkan komitmen kerajaan MADANI untuk menyediakan platform khusus bagi pihak industri utama berganding bahu dan menyumbang kepakaran ke arah matlamat bersama, iaitu memastikan penjagaan kesihatan swasta yang mampu milik dan mudah diakses untuk semua rakyat Malaysia sambil merangsang pertumbuhan sektor yang mampan.