Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memperkenalkan pelbagai teknologi dan inovasi terkini dalam industri sawit bagi memperkukuh daya saing sektor tersebut pada peringkat domestik dan peringkat global.
Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani merasmikan Program Pemindahan Teknologi Sawit (TOT) MPOB 2025 yang dianjurkan oleh MPOB.
Antara teknologi yang diperkenalkan termasuklah sistem pengesanan buah sawit masak (IMBAS), pengurusan perosak Ganoderma, pelantar genetik MPOB-Eg50 serta pelbagai produk berasaskan sawit. Produk tersebut merangkumi minyak hidraulik gred makanan, produk mandian, mayonis vegan dan gula-gula minyak sawit merah. MPOB turut melancarkan formulasi baja sawit MPOB F6 serta memperkenalkan biskut berkhasiat yang diperkaya dengan minyak sawit merah.
Majlis turut menyaksikan pertukaran tiga memorandum persefahaman (MoA) yang melibatkan pelesenan dan pengkomersialan teknologi makanan lembu, kawalan Ganoderma serta produk inovatif seperti “lipstik sawit”.

MPOB juga menjalankan kajian kebolehlaksanaan sebelum sesuatu projek dinilai oleh jawatankuasa penasihat yang terdiri daripada pakar industri tempatan dan antarabangsa.
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui MPOB menzahirkan komitmen untuk terus memperkasakan penyelidikan dan pembangunan teknologi sawit yang menyokong kecekapan operasi ladang, pengurusan penyakit dan penerokaan pasaran baharu.
Menerusi platform R&D&C, MPOB menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi mempercepat pengkomersialan teknologi dan memberikan manfaat menyeluruh kepada industri sawit pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
Yang turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Chan Foong Hin; Ketua Setiausaha KPK, YBhg. Dato’ Yusran Shah Mohd Yusof; Pengerusi MPOB, YBhg. Datuk Mohamad Helmy Othman Basha dan Ketua Pengarah MPOB, YBhg. Datuk Dr. Ahmad Parveez Hj. Ghulam Kadir.