Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Reformasi struktur bukan suatu kemewahan, sebaliknya suatu keperluan nasional yang penting walaupun bukan pilihan yang popular.
Demikian menurut Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sewaktu menyampaikan ucaptama dalam Sasana Symposium 2025, semalam.
Ujar beliau,
Reformasi struktur bukan sekadar pengumuman bersifat sensasi untuk meraih perhatian, sebaliknya langkah penting untuk membuka potensi pertumbuhan ekonomi negara secara menyeluruh.
Beliau menegaskan bahawa negara tidak mempunyai pilihan lain selain melaksanakan reformasi tersebut.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri turut menyentuh tentang Kerangka Ekonomi MADANI yang mencerminkan wawasan kerajaan dalam membangunkan negara melalui pendekatan yang seimbang dan inklusif dengan menekankan dua komitmen utama.
Komitmen pertama melibatkan pemodenan dasar perindustrian negara dengan fokus kepada peningkatan daya saing sektor, transformasi digital, pertumbuhan hijau serta penaiktarafan rantaian nilai.
Sementara itu, komitmen kedua menekankan kepentingan pengagihan manfaat pembangunan ekonomi secara menyeluruh, khususnya kepada golongan rentan dan komuniti yang kurang mendapat perhatian.
Tambah beliau,
Perubahan kecil sekali pun jika dilakukan secara konsisten dan berlandaskan tujuan yang jelas mampu mengubah haluan negara. Beginilah cara kita membina masa depan dengan ekonomi tidak hanya menguntungkan segelintir pihak tetapi turut mengangkat kehidupan majoriti rakyat.
Sasana Symposium 2025 anjuran Bank Negara Malaysia dengan tema “Reformasi Struktur: Membina Malaysia yang Berdaya Tahan” berlangsung di Sasana Kijang, Kuala Lumpur selama dua hari dari 17 Jun 2025 hingga 18 Jun 2025.