Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) terus proaktif melaksanakan langkah penguatkuasaan yang lebih berfokus dan strategik termasuk pematuhan yang lebih tuntas dan kerjasama erat dengan agensi penguatkuasaan lain.
Terkini, HASiL telah melaksanakan Operasi Pematuhan Cukai siri kelapan dikenali sebagai “OP Metro 3.0” yang berlangsung mulai 16 Jun 2025 hingga 20 Jun 2025 secara serentak di sekitar Lembah Klang.
Pelaksanaan OP Metro 3.0 ini merupakan kesinambungan OP Metro 2.0 yang telah berjaya dilaksanakan pada Februari lalu, iaitu operasi bersepadu yang melibatkan Sektor Pematuhan Cukai, Sektor Siasatan, Jabatan Pungutan Hasil, Jabatan Perisikan dan Profiling, Jabatan Digital, Cawangan Pematuhan Strategik serta pasukan pelaksana dari HASiL Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor.
Pelaksanaan OP Metro 3.0 telah dirancang dengan teliti dan menyeluruh melibatkan empat aktiviti operasi percukaian utama, iaitu aktiviti audit, pungutan, verifikasi pembayar cukai dan pematuhan strategik. Tumpuan industri yang telah dikenal pasti meliputi sektor pembinaan, pembuatan, perkhidmatan, perundingan dan pemborongan.
Sebanyak 590 orang pegawai HASiL terlibat dengan 682 kes telah dikenal pasti bagi pelaksanaan operasi kali ini. Pelaksanaan operasi berimpak tinggi ini turut disertai oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang menjadikannya pelibatan kali kedua selepas penyertaan dalam OP Rejang yang telah dilaksanakan di Sarawak pada April lalu.
Pelaksanaan OP Metro 3.0 menekankan tiga prinsip utama, iaitu ketegasan terhadap pembayar cukai yang melanggar undang-undang secara sengaja, toleransi dan panduan kepada yang tersalah tanpa niat dan penghargaan kepada pembayar cukai yang sentiasa patuh terhadap undang-undang. Secara ringkasnya, HASiL ingin menjadikan pematuhan cukai sebagai budaya dengan pembayar cukai yang ingkar akan dikenakan tindakan sewajarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin dalam ucapan perasmian di Menara Hasil Bangi berkata, pelaksanaan OP Metro 3.0 bukan sekadar satu operasi penguatkuasaan, bahkan seruan nasional untuk memperkukuh budaya pematuhan.
Menurut beliau lagi, HASiL percaya bahawa majoriti rakyat Malaysia ialah pembayar cukai yang jujur, namun akan sentiasa ada segmen kecil yang tersasar sama ada secara sengaja atau tidak sengaja dalam apa-apa sistem. Oleh itu, tugas HASiL bukan hanya untuk mengesan dan bertindak tetapi juga untuk mendampingi dan memperbaik kekurangan itu.

HASiL berharap gandingan kerjasama antara kedua-dua agensi ini akan terus diperkukuh dalam memastikan agenda percukaian nasional dapat dilaksanakan dengan cara yang efektif dan efisien.
HASiL percaya melalui penyatuan kepakaran dan sumber strategik, inisiatif ini dijangka mempertingkat keberkesanan pelaksanaan dasar percukaian dan memperluas asas percukaian secara holistik dan berstruktur.
Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif SSM, YBhg. Datuk Nor Azimah Abdul Aziz; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Kawal Selia dan Penguatkuasaan) SSM, YBrs. Encik Amir Ahmad, barisan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif HASiL serta pengurusan kanan kedua-dua agensi.
Sebarang pertanyaan serta maklum balas, sila hubungi HASiL menerusi: