Diterbitkan pada 11 Jun 2025, 17:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi pelaksanaan Program Pembangunan Usahawan Automotif MARA-PETRONAS (PUMP) Motoexpert yang bertujuan memperkasakan bengkel motosikal milik usahawan bumiputera.

Program ini dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara MARA dengan PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia (PLMM) bagi membina ekosistem automotif bumiputera yang lebih moden, mampan dan berdaya saing.

Menurut Pengerusi MARA, YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki ketika berucap dalam majlis pelancaran program tersebut, Program MotoExpert dirangka secara menyeluruh untuk melahirkan sekurang-kurangnya 30 bengkel motosikal bumiputera yang profesional dan berjenama menjelang akhir tahun ini.

Bengkel ini akan dipilih melalui proses saringan dan temu duga serta akan menerima pelbagai sokongan seperti pembiayaan maksimum RM300,000, latihan teknikal, bantuan operasi dan peruntukan khas RM1 juta untuk pembangunan kemahiran dan penjenamaan semula.

Jelas beliau lagi,

MotoExpert ini merupakan platform transformasi. Kita tidak mahu bengkel bumiputera kekal berskala kecil dan ketinggalan dari segi teknologi serta pengurusan. MARA mahu mereka melonjak sebagai usahawan automotif profesional yang bukan sekadar mahir membaiki, tetapi mampu mengurus dan mengembangkan perniagaan secara sistematik.

Bengkel yang terpilih juga akan dibantu dengan akses terus kepada produk pelincir berkualiti seperti PETRONAS Sprinta, sekali gus mengurangkan kebergantungan pada pembekal perantara dan menambahkan margin keuntungan.

Selain itu, PLMM akan turut membantu dari aspek latihan teknikal berkala, penjenamaan bengkel serta strategi pemasaran yang lebih agresif dan moden.

YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi turut menjelaskan bahawa program ini terbuka kepada usahawan bengkel motosikal bumiputera yang telah beroperasi sekurang-kurangnya enam bulan dan mencatatkan jualan tahunan minimum RM360,000.

Keutamaan juga akan diberikan kepada graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MARA yang berminat menceburi bidang keusahawanan automotif. Bengkel Program MotoExpert yang lulus saringan akan menerima latihan dan pemantauan berterusan daripada MARA bagi memastikan pertumbuhan perniagaan yang mampan.

Tambah beliau lagi, program ini dilihat sebagai satu langkah ke hadapan dalam menjadikan ekonomi bumiputera lebih dinamik dengan pendekatan berasaskan kemahiran, teknologi dan sokongan rantaian nilai industri.

Ujar beliau lagi,

Kita mahu anak muda bumiputera memiliki bengkel yang bertaraf profesional, bukan sekadar premis kecil di tepi jalan. Peluang ini ialah masa untuk berubah dan bangkit sebagai pemain industri automotif yang dihormati.

Beliau turut menyeru agar lebih banyak belia menyertai inisiatif ini dan melihat sektor automotif sebagai satu ruang keusahawanan yang berpotensi tinggi, bukan sekadar bidang teknikal semata-mata. MARA komited untuk menyediakan segala kemudahan, latihan dan pembiayaan bagi memastikan mereka berjaya bukan sahaja pada peringkat tempatan, tetapi juga ke peringkat antarabangsa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi