Diterbitkan pada 9 Jun 2025, 17:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melaka – Bank Muamalat Malaysia Berhad terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi perbankan Islam yang komited membangunkan komuniti setempat dengan pembukaan cawangan baharu di negeri Melaka.

Pembukaan rasmi cawangan ini menandakan satu lagi langkah strategik dalam peluasan rangkaian fizikal bank yang kini mencecah 70 cawangan di seluruh negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Encik Khairul Kamarudin, berkata, cawangan baharu ini akan menjadi pusat sokongan utama kepada pelanggan individu, dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya dalam kalangan komuniti yang semakin berkembang di sekitar kawasan pentadbiran dan perindustrian di negeri ini.

Jelas beliau,

Cawangan ini bukan hanya sebagai tempat untuk melakukan transaksi kewangan, tetapi juga pusat interaksi komuniti yang dapat memberikan nilai tambah melalui khidmat nasihat dan produk perbankan Islam yang menyeluruh.

Sebelum ini, cawangan Bank Muamalat yang beroperasi di Melaka International Bowling Centre (MIBC), Ayer Keroh sejak 28 April lalu telah menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan lebih daripada 400 pelanggan baharu dan jumlah transaksi mencecah RM4.9 juta hanya dalam tempoh sebulan.

Cawangan baharu ini menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan termasuk akaun deposit dan pelaburan, pembiayaan perumahan dan peribadi, pembiayaan perniagaan, Ar-Rahnu, pelaburan emas, unit amanah dan produk takaful. Di samping itu, cawangan ini juga menyediakan khidmat ejen untuk Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Tabung Haji dan kutipan zakat.

Bank Muamalat turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Melaka dalam menjayakan pelbagai inisiatif sosioekonomi termasuk pemerkasaan ekonomi B40, program keusahawanan Islam, pendigitalan luar bandar dan penggalakan transaksi tanpa tunai di kawasan pelancongan utama.

Beliau menegaskan bahawa kerjasama strategik sebegini selaras dengan matlamat bank untuk memainkan peranan sebagai pemacu pembangunan ekonomi yang beretika dan mampan.

Tambah beliau,

Kami percaya bahawa model perbankan Islam dapat menyokong pertumbuhan inklusif yang bukan sahaja mematuhi prinsip syariah, tetapi juga mementingkan kesejahteraan rakyat.

Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri  Utama Ab Rauf Yusoh menyambut baik pembukaan cawangan baharu itu dan menyatakan komitmen kerajaan negeri untuk memperkukuh hubungan strategik dengan Bank Muamalat.

Menurut beliau, pembukaan cawangan ini bertepatan dengan agenda Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 yang memberikan penekanan kepada pembangunan ekonomi berteraskan syariah, pemerkasaan industri halal dan pelaburan mampan.

Jelas beliau,

Bank Muamalat telah membuktikan keupayaannya dalam menyokong pembangunan masyarakat melalui pendekatan kewangan yang progresif dan beretika. Kerajaan negeri terbuka untuk memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk latihan keusahawanan dan pengurusan kewangan bagi golongan belia dan asnaf.

Sehingga Mei 2025, terdapat lebih daripada 34,900 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berdaftar di Melaka dengan lebih daripada 300 produk telah menerima pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Bank Muamalat menyasarkan untuk membantu segmen ini melalui pembiayaan mikro dan khidmat bimbingan keusahawanan secara patuh syariah.

Bank Muamalat komited untuk meneruskan usaha peluasan rangkaian dan memperkukuh kedudukan sebagai penyedia perkhidmatan kewangan Islam yang inklusif.

Pembukaan cawangan baharu ini membuktikan iltizam bank untuk mendekati masyarakat dan menyediakan akses kepada perkhidmatan kewangan yang mampan, selamat dan berteraskan nilai Islam.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi