Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKwasa Damansara – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM18.31 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (S1 2025), turun 13 peratus berbanding dengan RM20.99 bilion yang dicatatkan untuk suku yang sama pada tahun 2024.
Menurut KWSP, jumlah pendapatan pelaburan ini termasuk keuntungan penilaian berdasarkan nilai pasaran semasa sekuriti sebanyak RM1.02 bilion yang belum direalisasikan dengan kebanyakannya disebabkan oleh turun naik kadar pertukaran asing. Selaras dengan polisi KWSP, keuntungan ini tidak akan diagihkan sebagai dividen.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, YBrs. Ahmad Zulqarnain Onn berkata, keadaan pasaran global tidak menentu pada awal tahun 2025 berikutan ketegangan perdagangan yang kembali memuncak dan ketidaktentuan dasar.
Jelas beliau,
Walaupun pengumuman tarif dibuat oleh pentadbiran Amerika Syarikat (AS) pada 2 April 2025, ketidaktentuan mengenai dasar perdagangan AS telah mula memberikan kesan kepada pasaran saham utama sepanjang suku tahun.
Tambah beliau, walaupun tekanan inflasi semakin menurun di beberapa negara ekonomi utama, pelonggaran dasar monetari mengikut rantau adalah berbeza pada kadar dan masa sekali gus menjejaskan tahap penerimaan risiko.
Portfolio global KWSP yang pelbagai telah mengurangkan impak tersebut dan memastikan KWSP terus berada atas landasan yang tepat untuk mencipta pulangan jangka panjang.
Sepanjang suku yang dikaji, Ekuiti menyumbang sebanyak RM10.81 bilion, susut 23 peratus daripada RM14.02 bilion yang dicatatkan pada suku pertama tahun 2024. Penurunan ini adalah disebabkan oleh prestasi yang lebih lemah dalam pasaran ekuiti global dan persekitaran pelaburan yang mencabar. Kelas aset ini terus menjadi penyumbang terbesar merangkumi 59 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.
Menurut KWSP, Instrumen Pendapatan Tetap terus menjadi tonggak pemeliharaan modal, menyumbang sebanyak RM5.99 bilion atau 33 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.
Jelas KWSP, Instrumen Pendapatan Tetap yang merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf kekal memenuhi dua mandatnya, iaitu memberikan pulangan yang stabil dan mengimbangkan turun naik pasaran ekuiti. Hal ini menunjukkan kepentingan strategiknya dalam melindungi simpanan ahli sepanjang kitaran pasaran.
Hartanah dan Infrastruktur pula mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.08 bilion pada suku pertama tahun 2025, manakala Instrumen Pasaran Wang menjanakan sebanyak RM0.43 bilion selaras dengan jangkaan pulangan untuk kelas aset ini.
Jelas KWSP, daripada jumlah pendapatan pelaburan, sebanyak RM15.87 bilion telah dijanakan untuk Simpanan Konvensional, manakala RM2.44 bilion untuk Simpanan Shariah.
Sehingga Mac 2025, jumlah aset pelaburannya telah mencecah RM1.26 trilion dengan 38 peratus daripadanya dilaburkan di luar negara. Sepanjang tempoh tersebut, pelaburan luar negara telah menjanakan RM8 bilion atau 44 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.
Pelaburan domestik KWSP yang merangkumi 62 peratus daripada jumlah aset terus memberikan kestabilan pendapatan jangka panjang melalui dividen, faedah dan keuntungan daripada sukuk.
KWSP kekal komited untuk menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan terus melabur lebih 70 peratus daripada peruntukan tahunannya dalam pasaran domestik. Hal ini mencerminkan peranan KWSP sebagai pelabur jangka panjang dan sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI yang diperkenalkan oleh kerajaan.
Melalui inisiatif GEAR-uP, KWSP memberikan tumpuan kepada pembangunan peluang pelaburan dalam sektor penjagaan kesihatan yang bertujuan menjanakan pertumbuhan jangka panjang, menangani jurang kritikal dalam sistem dan menyokong persaraan yang lebih sihat untuk rakyat Malaysia.