Diterbitkan pada 30 Mei 2025, 09:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) terus memperkukuh komitmen terhadap tadbir urus percukaian negara melalui kerjasama strategik bersama-sama dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menerusi Program Lawatan Verifikasi Pembayar Cukai Tidak Aktif (PCTA) Tahun 2025.

Inisiatif bersepadu yang dilaksanakan dari 26 Mei 2025 hingga 29 Mei 2025 merupakan manifestasi komitmen berterusan HASiL dalam memperkukuh pematuhan cukai, memperluas jaringan asas cukai serta mengeratkan sinergi antara agensi demi memperkukuh tadbir urus negara.

Program ini dilaksanakan bertujuan untuk mengesahkan status pembayar cukai tidak aktif khususnya dalam kalangan pemegang lesen perniagaan yang beroperasi di sekitar Kota Kinabalu, iaitu Anjung Kinabalu, Anjung Senja dan Pasar Malam SAFMA seterusnya membuka ruang kepada pengaktifan semula fail percukaian mereka.

Pengarah HASiL Negeri Sabah, YBhg. Datin Dayang Halimah Awang Ahmad (dua dari kanan) turun padang bersama-sama dengan para petugas semasa Program Lawatan Verifikasi Pembayar Cukai Tidak Aktif (PCTA) Tahun 2025.

Sebanyak 23 orang pegawai HASiL Kota Kinabalu, Keningau dan Labuan bersama-sama dengan 35 anggota petugas DBKK terlibat dengan pelaksanaan operasi kali ini.

Berdasarkan pemadanan data yang dilakukan secara sistematik dan teliti, sebanyak 380 pembayar cukai tidak aktif telah dikenal pasti dan didapati masih menjalankan aktiviti perniagaan secara aktif di lokasi berkenaan.

Dalam majlis penutup program yang berlangsung di Hotel Horizon, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin menekankan bahawa pendekatan operasi bersepadu ini turut membuktikan bahawa strategi pematuhan cukai yang berkesan tidak bergantung pada penguatkuasaan semata-mata.

Keberkesanan strategi memerlukan kerjasama yang erat antara agensi khususnya melalui perkongsian maklumat yang menyeluruh dan berstruktur. Perkongsian data lesen perniagaan oleh DBKK telah menjadi pemangkin utama kepada kejayaan operasi ini.

Sementara itu, JP Mayor DBKK, YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin Samitah berkata, kerjasama strategik yang terjalin melalui program kolaboratif ini wajar diteruskan antara agensi Persekutuan dengan pihak berkuasa tempatan pada masa hadapan demi kesepakatan matlamat sekali gus menjamin kemampanan hasil negara.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Cawangan Khas), YBrs. Encik Ahmad Khairuddin Abdullah; Pengarah HASiL Negeri Sabah, YBhg. Datin Dayang Halimah Awang Ahmad serta barisan pengurusan kanan kedua-dua agensi.

HASiL mengharapkan kerjasama strategik seperti ini terus diperkukuh dan diperluas ke negeri lain serta dijadikan rujukan untuk membentuk amalan terbaik dalam pengurusan hasil secara bersepadu demi agenda pembangunan negara yang lestari.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas, sila hubungi HASiL menerusi:

  1. Pusat Hubungan Hasil (HCC) melalui talian 03-8911 1000/603-8911 1000 (Luar Negara);
  2. Sembang Langsung HASiL; dan
  3. Borang Maklum Balas dalam portal rasmi HASiL melalui pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi