Diterbitkan pada 28 Mei 2025, 15:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah melancarkan Portal MyLabourHub, sebuah platform digital pintar yang menyediakan maklumat pasaran buruh yang terkini, tepat dan mudah diakses oleh semua pihak.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, YBhg. Dato’ Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, platform berkenaan bukan sekadar portal biasa tetapi merupakan satu platform pintar yang mengintegrasikan data, institusi dan teknologi untuk pertumbuhan ekonomi inklusif, mampan dan berdaya saing.

Jelas beliau,

Portal MyLabourHub menawarkan pelbagai fungsi utama antaranya termasuklah sebagai platform analisis pasaran buruh yang memberikan gambaran menyeluruh tentang trend pekerjaan, kadar gaji dan keperluan kemahiran yang selari dengan dunia pekerjaan semasa; pemantauan dan penilaian keberkesanan dasar buruh negara serta sokongan kepada pembentukan dasar baharu; dan penyelarasan maklumat antara pelbagai institusi yang terlibat dalam pembangunan tenaga kerja negara.

Tambah beliau, MyLabourHub bukan sekadar platform teknologi tetapi manifestasi komitmen DOSM dalam memperkasakan rakyat dan negara melalui data.

Portal berkenaan dibangunkan untuk menjawab persoalan semasa dan membentuk masa depan pasaran buruh yang lebih dinamik, tangkas dan lestari.

DOSM juga menjelaskan bahawa MyLabourHub turut memberikan manfaat kepada pembuat dasar, institusi latihan, pihak industri dan pencari kerja untuk menangani cabaran dalam pasaran buruh seperti ketidakpadanan kemahiran serta keperluan untuk menyediakan unjuran pekerjaan dengan lebih baik.

Menurut DOSM, portal ini menampilkan dua modul utama, iaitu Modul Interaktif Statistik dan Visualisasi Data serta Modul Penerbitan DOSM. Modul interaktif membolehkan pengguna meneroka statistik pasaran buruh melalui paparan susunan data dinamik dan visualisasi grafik seperti carta, maklumat geospatial dan sebagainya.

Portal ini turut memuatkan Modul Penerbitan yang menyediakan akses kepada laporan berkala seperti laporan statistik pasaran buruh tahunan, suku tahunan dan bulanan; nota teknikal; definisi statistik; piawaian seperti Klasifikasi Piawaian Industri Malaysia (MSIC) dan Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO) serta kertas kerja analisis isu semasa.

DOSM akan terus komited untuk memperluas keupayaan analitik data negara berlandaskan teknologi digital berpacu data dan kecerdasan buatan (AI).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi