Diterbitkan pada 27 Mei 2025, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ipoh – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) terus komited menyokong dasar fiskal negara yang berdaya tahan dan telus dengan melancarkan siri ketujuh Operasi Pematuhan 2025 yang dikenali sebagai “OP Kinta”.

Operasi yang berlangsung di negeri Perak dari 27 Mei 2025 hingga 30 Mei 2025 menzahirkan komitmen HASiL dalam memperkasakan landskap percukaian negara dan menangani ketidakpatuhan cukai secara menyeluruh dan sistematik.

Pelaksanaan operasi kali ini melibatkan sebanyak 227 pegawai HASiL dan menyasarkan 676 kes yang telah dikenal pasti di beberapa lokasi tumpuan ekonomi di sekitar negeri Perak.

Fokus utama OP Kinta dibahagikan kepada lima sektor berisiko tinggi yang dikenal pasti berpotensi menyumbang kepada ketirisan hasil negara, iaitu sektor pembinaan, hartanah, pembuatan, ekonomi bayangan dan pertanian.

Lima aktiviti utama yang menjadi tumpuan operasi ini merangkumi audit cukai dan majikan, pematuhan strategik, verifikasi pembayar cukai, pungutan serta tindakan penguatkuasaan undang-undang.

Seiring dengan usaha mendepani arus pendigitalan sistem percukaian negara, HASiL turut memanfaatkan OP Kinta dengan memberikan penerangan secara langsung kepada pembayar cukai berkenaan pelaksanaan e-Invois.

Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan tahap kesediaan pembayar cukai terhadap sistem digital baharu, malah menyokong peralihan menyeluruh ke arah persekitaran percukaian yang lebih efisien, telus dan responsif.

Majlis perasmian OP Kinta telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Khairul Halimin Abdul Halim, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) di Menara HASiL Ipoh.

Penyempurnaan sesi pelepasan para petugas OP Kinta di pekarangan Menara HASiL Ipoh.

Dalam ucapan perasmian, beliau menyatakan bahawa pelaksanaan OP Kinta memberikan tumpuan khusus terhadap pematuhan cukai dalam kalangan warga asing. Perkara ini merupakan antara strategi penting untuk menangani ekonomi bayangan yang memberikan impak kepada kutipan hasil negara.

Melalui pendekatan ini, HASiL bukan sahaja menyasarkan tindakan penguatkuasaan, malah turut menjalankan verifikasi pembayar cukai tidak aktif secara menyeluruh bagi memastikan tiada pihak yang terlepas daripada tanggungjawab cukai.

Sebanyak 80 kes telah dikenal pasti melibatkan operasi perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing dengan tinjauan awal mendapati warganegara asing yang terlibat terdiri daripada warga Thailand, Bangladesh, Pakistan dan Indonesia.

Pelaksanaan operasi yang bersasar, berstruktur dan berteraskan hasil ini diharap dapat mengukuhkan lagi peranan HASiL dalam melestarikan ekosistem percukaian negara dan meningkatkan tahap pematuhan sukarela dalam kalangan pembayar cukai.

Pendekatan strategik ke arah pematuhan menyeluruh ini selari dengan hasrat kerajaan untuk memperluas asas percukaian negara serta memastikan keadilan dan ketelusan sistem percukaian negara.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Encik Mohamad Fauzi Saat, Ketua Pegawai Pematuhan Cukai serta barisan pengurusan kanan HASiL.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas, sila hubungi HASiL menerusi:

  • Pusat Hubungan Hasil (HCC) melalui talian 03-8911 1000/603-8911 1000 (Luar Negara);
  • Sembang Langsung HASiL; dan
  • Borang Maklum Balas menerusi portal rasmi HASiL melalui pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi