Diterbitkan pada 23 Mei 2025, 11:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan menyusut kepada RM21.9 bilion pada suku pertama 2025 (S1 2025), berbanding dengan RM26.4 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), pengurangan ini disumbangkan oleh peningkatan kutipan hasil dan pengoptimuman perbelanjaan selaras dengan pelaksanaan inisiatif konsolidasi fiskal kerajaan.

Dalam Laporan Ekonomi Malaysia S1 2025 yang diterbitkan semalam, MOF menjelaskan bahawa laporan tersebut memberikan gambaran menyeluruh mengenai prestasi makroekonomi negara dan kedudukan fiskal semasa sejajar dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan kewangan awam.

“Hasil Kerajaan Persekutuan meningkat tiga peratus kepada RM72.1 bilion berbanding dengan suku yang sama pada tahun 2024, didorong oleh kutipan cukai yang lebih tinggi, khususnya daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta cukai pendapatan individu,” menurut laporan tersebut.

Sementara itu, jumlah perbelanjaan kerajaan mencatatkan penurunan sebanyak 2.5 peratus kepada RM94.2 bilion. Penurunan ini dipacu oleh pengurangan subsidi hasil pelaksanaan program penyasaran subsidi diesel serta kesan daripada harga minyak global yang lebih rendah.

Namun begitu, kerajaan terus memperkukuh program bantuan sosial bersasar termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Insentif Pendaratan Ikan, dan Skim Subsidi Harga Padi.

Selain itu, peruntukan kepada badan berkanun turut dioptimumkan hasil daripada peningkatan kecekapan operasi agensi yang berkaitan.

Dari segi pertumbuhan ekonomi, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.4 peratus, mengatasi kadar 4.2 peratus pada suku pertama 2024.

“Pertumbuhan ini didorong oleh permintaan domestik yang kukuh serta pemulihan berterusan dalam sektor-sektor utama seperti perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan,” jelas Kementerian Kewangan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi