Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Penubuhan Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP) yang melibatkan kerjasama merentas agensi bertujuan untuk memperkukuh usaha audit dan pencegahan fraud perakaunan.
Jabatan Audit Negara (JAN) bersama-sama dengan enam agensi lain yang terdiri daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA) telah bersetuju mewujudkan kerjasama baharu melalui penubuhan KKFP.
Menurut JAN, kolaborasi antara agensi atau badan awam ini akan memperkukuh perkongsian maklumat, tipologi jenayah dan analisis trend semasa melibatkan fraud perakaunan.
KKFP juga bertindak sebagai platform strategik rentas agensi untuk pembangunan teknikal, penyelidikan dan inovasi ke arah mengurangkan risiko fraud perakaunan.
Fraud perakaunan merujuk tindakan manipulasi atau pemalsuan terhadap transaksi perakaunan dengan niat untuk memperdaya atau menipu yang boleh menyebabkan pemegang taruh yang menggunakan laporan kewangan tersebut membuat keputusan yang tidak tepat.
Melalui KKFP, pemerkasaan pembangunan kompetensi pegawai agensi atau badan awam melalui latihan pensijilan dan program perkongsian ilmu fraud perakaunan akan dilaksanakan.
Sementara itu, Ketua Audit Negara, YBhg. Dato’ Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, KKFP ini merupakan satu pendekatan strategik yang mencerminkan keazaman pelbagai pihak untuk menangani isu berkaitan dengan penyelewengan dan penipuan dalam pelaporan kewangan.
Kumpulan kerja yang ditubuhkan ini bukan sekadar simbolik, malah merupakan satu deklarasi komitmen bersama yang menuntut tindakan konkrit dan kolaboratif.
JAN akan menyumbang kepakaran dalam mengesan dan menilai risiko fraud perakaunan melalui pengauditan yang dilaksanakan kerana perkara ini juga selaras dengan pindaan Akta Audit 1957 (Akta 62) yang memperluas kuasa Ketua Audit Negara dalam pelaksanaan pengauditan terhadap badan lain termasuk syarikat yang menerima Jaminan Kewangan serta pelaksanaan “follow the public money audit”.
Menurut JAN lagi, sejajar dengan sasaran yang ditetapkan oleh Kerajaan MADANI untuk Malaysia berada dalam kalangan 25 negara teratas dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang tahun 2033, penubuhan KKFP merupakan satu inisiatif yang tepat pada masanya.
Kolaborasi dan komitmen tujuh agensi untuk memastikan pengamalan tadbir urus yang baik dan memperkukuh pengurusan kewangan negara pastinya akan dapat menyumbang kepada peningkatan kedudukan dan skor mata negara dalam CPI.
Majlis Peluncuran KKFP telah berlangsung semalam dengan pengisytiharan Deklarasi Komitmen yang ditandatangani oleh semua tujuh ketua agensi yang menganggotai KKFP diadakan pada sesi kemuncak.