Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dengan kerjasama strategik Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM) mengumumkan pembukaan rasmi pendaftaran bagi HASiL-CTIM Tax Forum Roadshow 2025.
Forum percukaian berprestij ini akan berlangsung dalam lima siri jelajah bermula akhir bulan Mei sehingga pertengahan bulan Jun di beberapa lokasi utama seluruh negara.
Menurut kenyataan HASiL, forum berkenaan menjadi platform penting menghimpunkan pengamal percukaian, wakil agensi, pemain industri, syarikat serta individu yang terlibat dalam pengurusan cukai bagi membincangkan isu semasa serta cabaran pelaksanaan dasar percukaian.
“Forum ini dijangka membentuk hala tuju sistem percukaian negara yang lebih progresif dan berdaya saing, selain membuka ruang dialog strategik antara pihak berkuasa dengan industri ke arah ekosistem cukai yang responsif,” menurut kenyataan tersebut.
Program lima siri akan diadakan pada 29 Mei 2025 (Khamis) bertempat di Renaissance Hotel, Johor Bahru; 10 Jun 2025 (Selasa) di St. Giles Wembley, Penang; 11 Jun 2025 (Rabu) di Le Meridien Hotel, Kota Kinabalu; 12 Jun 2025 (Khamis) di Sheraton Hotel, Kuching dan yang terakhir pada 18 Jun 2025 (Rabu) di Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur.
Forum berkenaan turut menampilkan empat sesi utama, iaitu Coffee Talk with HASiL & CTIM, Streamlining Success: Post-Implementation Insights of e-Invoicing, Dividend Tax serta Audit and Investigation.
Antara topik yang bakal dibincangkan termasuklah perkembangan pelaksanaan e-Invois, isu teknikal berkaitan dengan cukai dividen serta proses audit dan penyiasatan oleh HASiL.
Pendaftaran boleh dibuat melalui laman web CTIM di pautan https://www.ctim.org.my/events.
HASiL mengalu-alukan penyertaan daripada pengamal percukaian, badan profesional dan pembayar cukai untuk menyertai forum ini sebagai usaha bersama memperkasakan sistem percukaian negara.