Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) mengingatkan bahawa 15 Mei 2025 adalah tarikh akhir bagi pengemukaan Borang Nyata (BN) Tahun Taksiran 2024 melalui e-Filing bagi pembayar cukai individu yang tidak menjalankan perniagaan.
Kategori pembayar cukai yang terlibat merangkumi individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan (menggunakan borang e-BE), individu pemastautin yang merupakan pekerja berpengetahuan, berkepakaran atau bukan warganegara yang memegang jawatan utama (menggunakan borang e-BT), individu bukan pemastautin (menggunakan borang e-M), individu bukan pemastautin yang merupakan pekerja berpengetahuan (menggunakan borang e-MT), pertubuhan (menggunakan borang e-TF), harta pusaka (menggunakan borang e-TP) serta keluarga sekutu Hindu (menggunakan borang e-TJ).
Pengemukaan Borang Nyata melalui e-Filing boleh dilaksanakan melalui portal MyTax di https://mytax.hasil.gov.my atau melalui portal rasmi HASiL dengan mengakses pautan https://www.hasil.gov.my, kemudian memilih MyTax dan seterusnya Perkhidmatan ezHasil serta e-Filing.
HASiL menegaskan bahawa pembayar cukai perlu bertanggungjawab melaporkan pendapatan mereka dengan tepat dan membuat bayaran cukai dalam tempoh yang ditetapkan bagi mengelakkan dikenakan penalti, kenaikan cukai atau tindakan undang-undang.
“Pembayar cukai juga digesa memastikan maklumat peribadi dan perbankan mereka dikemas kini bagi memudahkan urusan bayaran balik cukai,” menurut kenyataan tersebut.
Kegagalan mengemukakan Borang Nyata dan melaporkan pendapatan sebenar dalam tempoh yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.
Bagi kesalahan tidak mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan atau tidak memaklumkan layak dikenakan cukai, Seksyen 112(1) ACP 1967 memperuntukkan denda antara RM200.00 hingga RM20,000.00, hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan membayar cukai selepas tempoh yang dibenarkan, Seksyen 103(3) ACP 1967 memperuntukkan penalti sebanyak 10 peratus kenaikan daripada jumlah cukai yang perlu dibayar.