Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGua Musang – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) terus komited memperkukuh pembangunan komuniti menerusi program HASiL Prihatin yang berlangsung dari 9 Mei hingga 12 Mei di Pos Balar, Gua Musang, Kelantan.
Program ini merupakan inisiatif rintis Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI yang dianjurkan oleh Kor Penyelaras Pasukan Beruniform (KPPU) HASiL bersama-sama dengan pasukan HASiL Kelantan dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Balar.
Menurut kenyataan HASiL, pemilihan Pos Balar yang terletak 138 kilometer dari bandar Gua Musang adalah untuk menyelami cabaran kehidupan masyarakat orang asli dan memberikan tumpuan kepada pembangunan pendidikan di kawasan pedalaman.
Bagi merealisasikan misi tersebut, pasukan HASiL dengan bantuan Persatuan Pacuan 4 Roda, Lipan BARA Kelantan meredah laluan mencabar ke SK Balar.
Program ini menyaksikan sumbangan disalurkan kepada 306 murid, 29 guru dan kakitangan serta 130 ketua keluarga komuniti setempat.

Antara sumbangan termasuklah peralatan pembelajaran seperti televisyen dan pembesar suara, keperluan ibadah, barangan sekolah, bahan naik taraf pusat sumber dan bilik pemulihan serta bakul makanan kepada penduduk.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) merangkap Komandan KPPU HASiL, YBrs. Encik Khairul Halimin Abdul Halim dalam ucapan perasmian berkata, program ini digerakkan selaras dengan aspirasi Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk memperluas inisiatif Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI.
“HASiL menyahut seruan kerajaan untuk menjadikan pembangunan komuniti sebagai tanggungjawab bersama berlandaskan prinsip keterangkuman dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Antara aktiviti sepanjang program termasuklah libat urus bersama warga SK Balar, kaunter semakan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), sukaneka bersama komuniti, pertandingan bakat, gotong-royong mengecat bilik khas serta pembaikan jambatan kampung.
Majlis perasmian yang berlangsung pada 11 Mei disempurnakan oleh Encik Khairul Halimin dan turut dihadiri oleh wakil Kementerian Pendidikan Malaysia, guru besar SK Balar serta pemimpin komuniti dan ibu bapa.
Program ini menjadi pemangkin kepada pelaksanaan berterusan oleh HASiL dalam mengangkat martabat pendidikan dan kesejahteraan komuniti pedalaman.
