Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSerdang – Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) perlu mengutamakan penggunaan sains dan teknologi serta mencipta inovasi untuk memperkasakan wawasan ekonomi digital dan hijau rantau ini secara mampan bagi membantu mencapai cita-citanya menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang tahun 2030.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan bahawa Malaysia menyokong usaha ini melalui dasar seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan peranan aktif dalam pembangunan ekosistem kenderaan elektrik (EV) serta penyelarasan infrastruktur serantau.
Jelas beliau semasa pelancaran Malaysia Autoshow 2025 di MAEPS Serdang,
Usaha ini menandakan langkah penting dalam menyelaraskan inisiatif pengawalseliaan dan infrastruktur serantau untuk memacu pertumbuhan ekosistem EV yang teguh dan mampan di seluruh ASEAN.
Beliau menekankan bahawa Standard Pertukaran Bateri ASEAN merupakan antara contoh wawasan rantau ini yang sedang dalam pelaksanaan bertujuan untuk menyelaraskan infrastruktur pengecasan EV melalui standard seragam di seluruh ASEAN.
Tambah beliau,
Penyelarasan ini bukan sahaja mengurangkan kos operasi dan menarik lebih banyak pelaburan tetapi juga meningkatkan kemudahan, kebolehcapaian dan keyakinan pengguna.
YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul turut menegaskan bahawa daya tahan sebenar dalam sektor automotif bergantung pada integrasi rantaian bekalan serantau yang lebih kukuh.
Jelas beliau,
Dengan memupuk rantaian bekalan pelengkap dan pasaran membangun dalam ASEAN, kita boleh meningkatkan lagi kecekapan pengeluaran, mengurangkan pergantungan kepada pasaran luar dan membina ekosistem automotif yang lebih tangkas dan teguh.
Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Malaysia berbangga dalam menerajui usaha membentuk agenda politik, ekonomi dan sosial rantau ini.
Ujar beliau,
ASEAN perlu kekal tangkas, dinamik dan bersatu dalam mengharungi cabaran getir global seperti perang perdagangan Amerika Syarikat–China.
Melalui komitmen ini, Malaysia berharap dapat memperkukuh kerjasama ekonomi serantau termasuklah melalui penyelarasan perdagangan dan integrasi rantaian bekalan seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi digital dan hijau yang mampan di ASEAN.