Diterbitkan pada 9 Mei 2025, 15:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Miri – Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) dan Sarawak Oil Palms Berhad (SOP) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh usaha pemuliharaan sawit biodiversiti dan menggalakkan amalan pertanian sawit yang mampan di Sarawak

Majlis menandatangani MoU tersebut disempurnakan oleh Pengurus Besar MPOGCF, Encik Hairulazim Mahmud serta Pengarah Urusan SOP, Encik Paul Wong. Kerjasama ini bertujuan untuk mengintegrasikan pemuliharaan biodiversiti dalam pengurusan ladang sawit sejajar dengan komitmen Malaysia terhadap pembangunan lestari.

Ujar Encik Hairulazim Mahmud

Kerjasama ini menandakan dedikasi kami untuk menjadikan pemuliharaan dan biodiversiti sebagai teras dalam pengurusan ladang mampan.

MoU ini juga merangkumi inisiatif seperti pemulihan habitat semula jadi, perlindungan spesies terancam dan penyelidikan bersama untuk meningkatkan amalan pertanian yang mesra alam.

Encik Paul Wong menyatakan bahawa kerjasama dengan MPOGCF akan memperkukuh usaha syarikat dalam mencapai pensijilan kelestarian dan memenuhi piawaian antarabangsa.

Jelas beliau,

Kami komited untuk mengamalkan pertanian yang bertanggungjawab dan memastikan bahawa operasi kami tidak akan menjejaskan ekosistem semula jadi.

MPOGCF yang ditubuhkan pada tahun 2021 telah melaksanakan lebih daripada 20 projek pemuliharaan di seluruh negara termasuklah penanaman semula hutan dan perlindungan hidupan liar. Melalui kerjasama ini, MPOGCF berharap dapat memperluas impaknya di Sarawak dan menyokong komuniti tempatan dalam usaha pemuliharaan.

Kerjasama ini juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Perjanjian Paris yang menekankan kepentingan pemuliharaan biodiversiti dan pengurangan cap kaki karbon dalam industri pertanian.

Melalui pemeteraian MoU ini, MPOGCF dan SOP menunjukkan komitmen bersama untuk memajukan industri sawit Malaysia ke arah kelestarian alam sekitar.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi