Diterbitkan pada 8 Mei 2025, 18:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melaka – Kerajaan Negeri Melaka mengorak langkah strategik dengan menjalinkan kerjasama dengan World Economic Council (WEC) bagi menarik pelaburan dari Jerman ke kawasan pembangunan industri hijau, Green Technology Park (GTP) di negeri itu.

Kerjasama tersebut dimeterai dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Ayer Panas, Bemban melibatkan perwakilan WEC dari Eropah dan pimpinan tertinggi negeri. Pemeteraian tersebut disifatkan sebagai langkah penting untuk menjadikan GTP sebagai hab teknologi hijau serantau sejajar dengan aspirasi Malaysia ke arah pembangunan mampan.

Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab. Rauf Yusoh berkata, inisiatif ini akan membuka ruang kepada pelabur Jerman dalam sektor teknologi hijau, tenaga boleh baharu serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk melabur dan bekerjasama dengan syarikat tempatan.

Jelas beliau,

Melaka komited menjadi negeri yang mesra pelabur dan kerjasama dengan WEC ini ialah bukti kesungguhan kami untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi yang memberikan impak langsung kepada penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi dan pemindahan teknologi.

WEC pula menyatakan minat yang tinggi terhadap potensi Melaka sebagai lokasi pelaburan kerana kedudukannya yang strategik, infrastruktur yang semakin maju serta sokongan kerajaan negeri yang proaktif dalam menarik pelabur luar.

Kerjasama ini dijangka menarik pelaburan berbilion ringgit dalam tempoh lima tahun akan datang, sekali gus merancakkan pembangunan ekonomi negeri serta menyokong agenda hijau negara.

GTP yang terletak di kawasan strategik berhampiran Lebuh AMJ dijangka menarik lebih daripada RM5 bilion pelaburan langsung asing (FDI) dalam tempoh lima tahun akan datang. Kawasan seluas 200 ekar itu bakal menempatkan pusat penyelidikan, makmal teknologi serta kemudahan pengeluaran berteknologi tinggi.

Dr. Klaus Reinhardt dalam ucapannya memuji inisiatif kerajaan Melaka dalam mewujudkan persekitaran pelaburan yang kompetitif dan berdaya saing.

Jelas beliau,

Malaysia khususnya Melaka mempunyai potensi besar untuk menjadi pintu masuk kepada teknologi Jerman di Asia. WEC komited untuk membawa pelabur berkualiti tinggi yang dapat menyumbang kepada pemindahan teknologi dan pembangunan bakat tempatan.

Beliau turut memaklumkan bahawa satu misi perdagangan Jerman akan melawat Melaka pada suku ketiga tahun ini bagi meninjau potensi pelaburan secara langsung di GTP.

Sementara itu, Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Melaka, YB Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, GTP turut dirancang untuk menjadi ekosistem yang menyokong pembangunan tenaga kerja mahir tempatan.

Ujar beliau,

Kita akan bekerjasama dengan institusi pendidikan tinggi bagi melahirkan tenaga kerja yang bersedia untuk sektor industri masa hadapan.

Kerajaan negeri turut memberikan jaminan bahawa aspek kelestarian dan pemeliharaan alam sekitar akan diutamakan dalam pembangunan GTP dengan penggunaan teknologi hijau dan tenaga boleh baharu sebagai antara komponen utama.

Melalui pemeteraian kerjasama ini, Melaka kini berada pada landasan kukuh untuk menarik lebih banyak pelaburan strategik dari Eropah seterusnya memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai satu daripada pemain utama dalam landskap teknologi serantau.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi