Diterbitkan pada 5 Mei 2025, 13:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Manila — Kekurangan pelaburan dalam grid kuasa moden menjadi penghalang utama kepada peralihan tenaga bersih di negara membangun di Asia dan Pasifik, menurut laporan terbaharu Bank Pembangunan Asia (ADB).

Laporan bertajuk Penilaian Kesediaan Peralihan Tenaga untuk Negara-Negara Asia Membangun dan Pasifik menyatakan bahawa walaupun rantau ini merupakan peneraju global dalam pelaburan tenaga bersih, infrastruktur grid yang ketinggalan menyukarkan penggunaan penuh tenaga boleh baharu.

ADB menjelaskan bahawa sejak tahun 2013, pelaburan tenaga bersih di Asia telah meningkat lebih 900 peratus, mencecah RM729.4 bilion pada tahun 2023 dan merangkumi 45 peratus daripada jumlah pelaburan global dalam sektor tersebut. Namun begitu, pelaburan ini masih tidak mencukupi untuk menyokong keperluan grid moden yang mampu menampung tenaga boleh baharu secara meluas.

China terus mendominasi pelaburan tenaga di Asia, menyumbang lebih 75 peratus daripada kapasiti tenaga baharu pada tahun 2022, jauh meninggalkan negara lain seperti India dan tujuh negara Asia lain.

Laporan turut mengiktiraf kemajuan dasar dan peraturan di negara seperti Malaysia, Thailand dan Georgia. Di samping itu, negara seperti Bangladesh, India dan Indonesia berjaya memperluas capaian elektrik kepada lebih satu bilion penduduk sejak tahun 2010.

Pengarah Kanan Sektor Tenaga ADB, Priyantha Wijayatunga menegaskan bahawa pengembangan grid kuasa moden dan digital adalah kunci untuk menyambungkan sumber tenaga boleh baharu ke sistem kuasa nasional.

“Asia dijangka menjanakan dua pertiga daripada permintaan tenaga global menjelang tahun 2040. Oleh itu, tindakan segera dengan dasar kukuh, teknologi inovatif dan pembiayaan jangka panjang amat diperlukan,” katanya.

Sementara itu, dalam Forum Ekonomi Dunia (WEF), Robertto Bocca menyifatkan tenaga bersih sebagai industri penting bagi pertumbuhan ekonomi Asia.

ADB bersama rakan kerjasama dijadual membincangkan isu ketersambungan grid nasional dan rentas sempadan pada Forum Tenaga Bersih Asia di Manila, Filipina pada bulan Jun ini dengan tumpuan kepada ASEAN, Asia Barat Tengah dan Asia Selatan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi