Arina Zata Sabila binti Musthafa Abrar .
Diterbitkan pada 4 Mei 2025, 17:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Pertumbuhan pesat industri mangga harum manis di Perlis yang kini melibatkan lebih daripada 2,600 orang pengusaha dengan keluasan tanaman mencecah 1,745 hektar mendapat pujian Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang menyifatkannya sebagai pencapaian membanggakan dalam sektor pertanian negeri.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Festival Industri Mangga dan Pertanian Perlis (PERMAI) 2025 yang berlangsung meriah malam tadi di Dataran berhampiran Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis.

Turut berangkat, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Puan Muda Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda kedua baginda berdua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Dalam titah perasmian, Tuanku Syed Sirajuddin menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri dan agensi pelaksana atas komitmen berterusan dalam memperkasakan komuniti agro tempatan.

“Beta amat berbangga apabila dimaklumkan bahawa industri harum manis telah berkembang pesat sehingga melibatkan lebih daripada 2,600 orang pengusaha. Pencapaian ini bukan sahaja memberikan limpahan ekonomi kepada rakyat, malah memperkukuh imej Perlis sebagai negeri pertanian yang dinamik,” titah baginda.

Baginda turut menekankan pentingnya pemodenan sektor pertanian melalui penerapan teknologi baharu termasuklah kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan ladang.

“Para petani, penternak dan usahawan tani kini perlu menguasai teknologi seperti AI dalam operasi harian termasuklah pemantauan kesihatan tanaman, kawalan rumpai automatik, penyemburan pintar serta penggunaan dron dan agribot,” titah baginda lagi.

Raja Perlis turut menyarankan agar usaha promosi produk tempatan dipertingkatkan bagi memastikan hasil pertanian Perlis dikenali, diiktiraf dan berdaya saing, bukan sahaja dari segi kualiti tetapi juga keunikannya berbanding dengan produk dari negeri lain.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail merasmikan Festival Industri Mangga dan Pertanian Perlis (PERMAI) 2025 di Dataran berhadapan Kompleks DUN Perlis, malam tadi.

Festival ini menyaksikan penyertaan pelbagai jabatan dan agensi berkaitan dengannya termasuklah Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), Lembaga Koko Malaysia (LKTN) serta Agrobank.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, kesemua agensi ini memainkan peranan penting dalam memperkukuh sektor pertanian negeri, khususnya melalui pelaksanaan pelbagai program pembangunan agro dan keusahawanan tani.

“Beta yakin usaha berterusan dalam memodenkan dan memperkasakan sektor ini sangat penting bagi menjamin keselamatan makanan, memacu pertumbuhan ekonomi, membuka peluang pekerjaan serta memelihara alam sekitar agar manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh rakyat,” titah baginda.

Baginda turut menzahirkan keyakinan bahawa penganjuran Festival PERMAI berupaya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan kesinambungan dalam pembangunan sektor pertanian moden di negeri ini.

Untuk rekod, Festival PERMAI yang diperkenalkan buat pertama kali tahun ini merupakan penjenamaan semula gabungan antara Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) serta Festival Mangga Harum Manis Perlis.

Kredit Foto: Istana Arau
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi