Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIsu kesihatan mental dalam kalangan pekerja di Malaysia semakin membimbangkan. Dapatan daripada Sistem Profiling Digital Kesihatan Psikologi Pegawai Perkhidmatan Awam (MyPsyD) yang dijalankan antara 1 Mac sehingga September tahun lalu mendapati bahawa lebih daripada 40,000 orang penjawat awam berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental akibat ketidakupayaan menangani tekanan di tempat kerja.
Walaupun data ini hanya melibatkan sektor awam, jumlah tersebut sudah cukup memberikan isyarat bahawa kesejahteraan mental di tempat kerja merupakan isu yang tidak boleh dipandang ringan. Tema Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024, “Sudah Tiba Masanya untuk Mengutamakan Kesihatan Mental di Tempat Kerja” turut menegaskan keperluan mendesak untuk memberikan perhatian serius terhadap aspek ini.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan mental merangkumi kesejahteraan emosi, psikologi dan sosial seseorang individu yang mempengaruhi cara mereka berfikir, berasa dan bertindak. Kesihatan mental yang baik membolehkan seseorang mengurus tekanan, bekerja dengan produktif dan menyumbang secara bermakna kepada masyarakat.
Dalam konteks dunia pekerjaan, kesejahteraan mental pekerja menjadi elemen penting yang menyumbang kepada kejayaan sesebuah organisasi dan negara. Statistik Tenaga Buruh Januari 2025 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan sebanyak 16.68 juta rakyat Malaysia kini berada dalam sektor pekerjaan, satu angka yang menegaskan betapa pentingnya penjagaan kesihatan mental dalam kalangan tenaga kerja kita.
Kajian oleh syarikat sumber manusia, Remote pada tahun 2023 mendapati bahawa rakyat Malaysia bekerja purata 40 jam seminggu, jauh lebih tinggi berbanding dengan jiran serantau seperti Singapura (29.1 jam) dan Indonesia (30.1 jam). Ketidakseimbangan antara kerja dengan kehidupan peribadi ini bukan sahaja memberikan kesan kepada kesejahteraan individu, malah meletakkan Malaysia sebagai negara kedua paling teruk dalam aspek keseimbangan kerja dan peribadi. Dalam satu kajian serantau oleh JobStreet dan JobsDB by SEEK, Malaysia mencatatkan peratusan kedua tertinggi pekerja yang tidak bahagia di tempat kerja dalam kalangan negara Asia Tenggara, iaitu 12 peratus selepas Singapura yang merekodkan 19 peratus.
Punca utama tekanan di tempat kerja termasuklah beban kerja yang berlebihan (37 peratus), tekanan daripada pengurusan (27 peratus) serta kekurangan peluang pembangunan kerjaya (23 peratus). Statistik ini menunjukkan bahawa tempat kerja yang sepatutnya menjadi ruang sokongan dan pembangunan diri, semakin menjadi punca tekanan dan kemurungan. Kajian oleh JobStreet by SEEK turut mendedahkan bahawa 18 peratus pekerja Malaysia menganggap tempat kerja mereka sebagai “sangat tertekan”, dengan industri perkhidmatan pengguna, peruncitan dan perdagangan antara yang paling terkesan.
Dalam konteks ini, pekerja yang tidak mendapat sokongan sosial atau penghargaan sewajarnya daripada majikan lebih mudah terdedah kepada masalah kesihatan mental. Ketidakpastian ekonomi pascapandemik, kebimbangan terhadap jaminan pekerjaan serta faktor seperti buli, gangguan seksual dan diskriminasi juga menambah beban psikologi pekerja. Bagi pekerja berusia, kebimbangan terhadap kehilangan pekerjaan membawa tekanan yang lebih berat memandangkan peluang mendapatkan pekerjaan semula adalah lebih sukar.
Implikasi kesihatan mental terhadap produktiviti organisasi amat besar. Menurut Dr. Azmawaty Mohamad Nor dan Dr. Ahamad Zabidi Abdul Razak, kira-kira 12 bilion hari bekerja hilang setiap tahun di seluruh dunia akibat masalah kemurungan dan kebimbangan dengan anggaran kerugian produktiviti mencecah USD1 trilion setahun. Hal ini menuntut tindakan segera oleh majikan dan pihak berkepentingan untuk menangani isu ini secara serius.
Antara langkah yang boleh diambil oleh organisasi termasuklah menganjurkan program kesedaran kesihatan mental secara berkala dan menyeluruh, bukan sekadar bersifat simbolik atau tahunan. Program ini penting bagi membantu pekerja mengenal pasti gejala awal tekanan dan mengambil langkah pencegahan awal.
Di samping itu, fleksibiliti waktu kerja dan kemudahan bekerja dari rumah boleh membantu pekerja mengurus tekanan dan mencapai keseimbangan kehidupan. Golongan muda khususnya dilihat lebih cenderung kepada pekerjaan yang menawarkan fleksibiliti seperti dalam ekonomi gig.
Pengiktirafan dan penghargaan terhadap pencapaian pekerja juga dapat meningkatkan motivasi serta kesejahteraan mental mereka. Di samping itu, akses kepada sokongan profesional seperti sesi kaunseling dan terapi harus disediakan oleh organisasi sebagai satu daripada komponen penting dalam sistem sokongan pekerja. Menurut OSHA 1994, tanggungjawab majikan bukan sahaja memastikan keselamatan fizikal tetapi juga kesejahteraan mental para pekerja mereka.
Ternyata, dalam dunia kerja hari ini, kesihatan mental pekerja merupakan aset strategik yang perlu dijaga. Usaha proaktif majikan dalam menyediakan persekitaran kerja yang sihat, selamat dan menyokong bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan pekerja, malah memberikan pulangan jangka panjang kepada organisasi. Dalam menghadapi cabaran masa kini, sudah tiba masanya setiap organisasi untuk meletakkan kesihatan mental sebagai keutamaan dalam dasar dan amalan pengurusan sumber manusia di negara ini.