Diterbitkan pada 16 April 2025, 12:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK) menekankan bahawa biojisim kelapa sawit berpotensi besar untuk faedah ekonomi dan alam sekitar yang akan menguntungkan negara.

Timbalan Menteri KPK, YB Datuk Chan Foong Hin yang mewakili Menteri KPK berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Antarabangsa ke-5 mengenai Biojisim Kelapa Sawit (IOPBC2025) yang berlangsung di Berjaya Hotel Resort pada 14 April 2025.

Beliau yang membacakan teks ucapan Menteri KPK berkata, IOPBC2025 mengetengahkan laluan inovatif bagi membuka kunci nilainya, menggalakkan kemampanan sambil mencipta aliran pendapatan baharu untuk industri.

Ujar beliau lagi,

Kita semua sedar industri minyak kelapa sawit telah lama menjadi tonggak pertumbuhan ekonomi negara. Hasil daripada usaha berterusan, minyak kelapa sawit Malaysia kini menjadi minyak yang paling banyak didagangkan pada pasaran global.

Dengan industri sawit yang kukuh dan penumpuan yang semakin meningkat kepada biojisim berasaskan kayu, Malaysia kini berada pada kedudukan utama sebagai pembekal bahan tenaga boleh baharu peringkat global.

Jelas beliau lagi,

Pada tahun 2024, Malaysia mengeksport 1.27 juta tan tempurung kelapa sawit ke pasaran utama seperti Jepun dan Thailand untuk penjanaan kuasa. Eksport pelet kayu juga meningkat 31 peratus mencecah 1.13 juta tan didorong oleh peningkatan permintaan dari Jepun, Korea Selatan dan Belanda.

Industri biojisim tidak hanya mengenai eksport dan manfaat ekonomi, tetapi juga mengetuai transisi ke dunia yang lebih bersih dan lebih hijau.

Tegas beliau,

Sebagai pemain industri, pembuat dasar dan pihak berkepentingan, kita mempunyai tanggungjawab bersama-sama untuk menegakkan kelestarian, memacu inovasi dan memastikan biojisim kekal sebagai tunjang tenaga boleh baharu untuk generasi akan datang.

Pada peringkat serantau, peranan Asia dalam pasaran biojisim turut berkembang pesat. Kini, Jepun dan Korea menyumbang 32 peratus kepada import global pelet biojisim, iaitu peningkatan daripada hanya 18 peratus pada lima tahun lalu.

Tambah beliau,

Pelet biojisim merupakan sumber tenaga boleh baharu yang cekap, rendah karbon dan menguntungkan. Dalam peralihan ke arah tenaga bersih, pelet kelapa sawit memainkan peranan penting dalam mencapai kelestarian.

Dalam perjalanan global ke arah tenaga mampan, sektor biojisim muncul sebagai simbol inovasi dan pengurusan alam sekitar.

IOPBC2025 yang dianjurkan oleh Akademi Pengeksport Malaysia bertemakan “Mencipta Kekayaan Potensi daripada Biojisim Kelapa Sawit” telah berlangsung dari 14 April 2025 hingga 15 April 2025.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Ahmad Ibrahim, Pengerusi Penganjuran IOBPC2025; Yang Berusaha (YBrs.) Profesor Dr. Abdul Kabur Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Eksport Malaysia; YBrs. Tuan Noel F. Leana, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Papua New Guinea; para tetamu kehormat, para pemimpin industri dan wakil media.

Para peserta yang menghadiri IOPBC2025.

IOPBC2025 menghimpunkan pemimpin industri, penyelidik, penggubal dasar dan inovator dari seluruh dunia untuk meneroka penyelesaian yang mampan dan menguntungkan bagi mengubah biojisim kelapa sawit kepada produk bernilai tinggi.

Persidangan tersebut berfungsi sebagai platform global untuk pertukaran pengetahuan, rangkaian dan kerjasama dalam bidang biotenaga, bioproduk dan strategi ekonomi bulat untuk industri kelapa sawit.

Lebih 25 orang penceramah utama dan ahli panel telah dipilih secara selektif untuk menyemarakkan perbincangan dan perbahasan mengenai isu utama. Mereka terdiri daripada pemain perniagaan, perunding, pemaju teknologi dan pemain kawal selia.

IOPBC2025 turut meneroka prospek pelaburan, strategi pengkomersialan dan perkongsian awam–swasta dalam sektor biojisim. Platform ini memberikan peluang kepada semua pemain industri untuk berhubung dengan pihak berkepentingan global yang memupuk perkongsian dan memacu bioekonomi ke hadapan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi