Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Negeri Perlis menyediakan pelbagai insentif pelaburan melalui kerjasama dengan agensi Kerajaan Pusat bertujuan menarik minat para pelabur tempatan dan asing ke negeri ini.
Tawaran insentif ini khususnya untuk pelaburan di kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) yang melibatkan kluster industri halal, automotif, pembuatan hijau, dan tenaga boleh baharu.
Antara insentif dan inisiatif yang ditawarkan termasuklah pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100% sehingga 15 tahun, elaun cukai pelaburan (ITA) sebanyak 100% untuk tempoh sehingga 10 tahun, serta pengecualian duti import dan duti setem.
Usaha ini turut melibatkan kerjasama antara Kerajaan Negeri dengan pelbagai pihak termasuk Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Greentech Malaysia, Perbadanan Bioekonomi serta beberapa pihak lain.
Maklumat berkenaan telah disembah maklum oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pembangunan), YBrs. Encik Rusdi Yahya dan Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Perlis (BPEN), Encik Zuhair Jamaludin kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena dengan majlis mengadap oleh delegasi daripada Khuzama Valley Investment (KVI) yang berpangkalan di Riyadh, Arab Saudi di Galeri DiRaja Arau baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Urusan Kumpulan, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, Datuk Sri Dr. Haji Irmohizam Haji Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Delegasi dari KVI diwakili oleh Pengerusinya, Mansour Ayedh Alkahtani, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KVI, Osama Hassan Ahmed dan Perwakilan Asia Tenggara KVI, Elsadig Awad.
Syarikat daripada Arab Saudi ini turut mengadakan lawatan ke tapak Projek Pelabuhan Darat Perlis (PIP) yang akan berperanan sebagai pelabuhan darat serta hab ekonomi baharu yang bakal memanfaatkan jaringan kereta api antara Malaysia dengan Thailand.
Projek ini dijangka siap sepenuhnya dan beroperasi pada suku tahun kedua tahun 2025.