Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Airasia Superapp telah memperkenalkan tiga inisiatif yang sebahagian daripada sokongan syarikat kepada program Payung Rahmah anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. Inisiatif yang diperkenalkan tersebut adalah untuk memudahkan perjalanan mampu milik rakyat Malaysia.
Antara inisiatif yang ditawarkan ialah promosi RM 1 airasia ride di lima kawasan popular yang terpilih iaitu, Putrajaya, Cyberjaya, Bukit Bintang, Bandar Sunway, Bangsar South dan Mont Kiara. Inisiatif itu dilancarkan oleh Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub. Turut hadir dalam majlis itu pemangku Ketua Pegawai Eksekutif airasia Superapp, Mohamad Hafidz Mohd Fadzil dan Ketua Pegawai Eksekutif Serantau airasia ride, Lim Chiew Shan.
Promosi itu tersedia pada setiap hari isnin hingga jumaat dari pukul 12 tengah hari bagi 3000 tempahan pertama setiap hari (tertakluk kepada caj minimum tempahan perjalanan bernilai RM 5). Setiap tempahan RM 1 airasia ride akan diberikan peluang untuk menebus Pakej Rahmah “Ride, Fly & Stay”. Pengguna airasia ride akan menerima kod promosi RAHMAH50 bagi potongan harga RM 50 untuk tempahan hotel dan potongan RM 50 tempahan penerbangan ke mana-mana destinasi antarabangsa melalui platform OTA. Selain itu, kod itu juga boleh digunakan secara berasingan untuk mendapatkan potongan RM 50 atas tempahan tunggal airasia hotel (tertakluk kepada setiap 100 tempahan pertama setiap hari) atau tempahan penerbangan tunggal di airasia Superapp hotel (tertakluk kepada setiap 100 tempahan pertama setiap hari).
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes menyatakan bahawa pihaknya berasa bangga menyertai program inisiatif Payung Rahmah dan mengucapkan terima kasih kepada menteri kerana melancarkan program tersebut. Beliau menambah promosi itu akan memberi manfaat kepada 200 000 orang terutamanya pelajar sekolah dan mahasiswa di lokasi terpilih. Tambahnya lagi, beliau berharap usaha itu akan membolehkan lebih ramai pelajar dapat menikmati pengalaman pengangkutan yang lancar tanpa menjejaskan bajet mereka.
Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub memuji usaha airasia Superapp kerana mengambil bahagian dalam inisiatif Payung Rahmah. Beliau turut menyatakan bahawa matlamat utama kerajaan melancarkan inisiatif Payung Rahmah adalah untuk membantu mengurangkan kos sara rakyat Malaysia. Beliau berharap agar lebih banyak syarikat dapat menyertai inisiatif Payung Rahmah.