Diterbitkan pada 10 Mei 2023, 15:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyambut baik kedatangan pelabur bersaiz sederhana dan individu tempatan yang  membangunkan projek pertanian komersial di negeri Perlis. Hal itu dapat dilihat dengan adanya ladang Harumanis Perlis, superfruits, nanas, jagung bijian, pusat ternakan lembu, kambing, ayam kampung, itik dan burung puyuh.

Keadaan tanah subur di Perlis juga telah membolehkan tanaman jagung bijian berkualiti tinggi dan rumput napier dapat dihasilkan secara besar-besaran di negeri ini. Terkini, Perlis merupakan salah satu negeri yang telah membantu negara mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan makanan ternakan dari negara luar. Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyampaikan agihan zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada 140 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak Kariah Kampung Chemumar dan Kampung Sematang Serdang yang diadakan di Masjid Babul Ibadah Kampung Chemumar. Penerima sumbangan itu menerima RM700 dan jumlah penuh disumbangkan oleh MAIPs pada kali ini ialah RM98 000.

Bagindan turut menambah kekurangan bekalan makanan dan kenaikan harga makanan telah menjadi bualan dan rungutan rakyat. Merujuk Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) 2022, Malaysia berada di tangga ke-41 yang turun tujuh anak tangga. Hal itu menunjukkan bahawa sektor ini masih perlu diberi perhatian agar jaminan bekalan makanan negara terus terjamin dan tidak bergantung kepada import.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi