Diterbitkan pada 4 Mei 2026, 20:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sambutan dan Karnival Hari Pekerja 2026 anjuran Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang berlangsung dari 1 Mei 2026 hingga 3 Mei 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil melabuhkan tirainya dengan kejayaan apabila menarik kehadiran lebih daripada 30,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan tenaga kerja dan modal insan negara.

Program tersebut dimulakan dengan Perhimpunan Mega Hari Pekerja pada 1 Mei 2026 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta menghimpunkan lebih daripada 15,000 pekerja merangkumi sektor awam, swasta dan kesatuan sekerja.

Sambutan itu sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam mengiktiraf sumbangan golongan pekerja sebagai tunjang pembangunan ekonomi negara.

Sepanjang tiga hari penganjuran, karnival berkenaan bukan sahaja menjadi platform penghargaan kepada golongan pekerja, malah berfungsi sebagai hab sehenti yang menghubungkan pencari kerja, majikan dan penyedia latihan.

Iniasitif itu turut membuka pelbagai peluang pekerjaan, pembangunan kemahiran menerusi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), latihan industri dan perkhidmatan kerajaan.

Lebih daripada 50 pempamer daripada jabatan, agensi kerajaan dan sektor swasta turut mengambil bahagian, manakala MyFutureJobs Premium Carnival 2026 menjadi antara komponen utama dengan menawarkan lebih daripada 10,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor strategik.

Di Bukit Jalil, Karnival Kerjaya oleh MyFutureJobs PERKESO merekodkan kehadiran sebanyak 2,177 peserta dengan 268 individu berjaya memperoleh peluang pekerjaan menerusi sesi padanan pekerjaan secara langsung.

Penyertaan 30 majikan yang menawarkan lebih daripada 4,000 kekosongan jawatan dengan julat gaji hingga RM16,000 turut memperkukuh akses kepada pekerjaan berkualiti.

Kemuncak sambutan pada 1 Mei 2026 turut menyaksikan penyampaian 14 kategori Anugerah Hari Pekerja 2026 sebagai penghargaan kepada kecemerlangan pekerja, majikan, kesatuan sekerja, media dan kontinjen dalam pembangunan negara.

Menteri Sumber Manusia, YB Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, Sambutan Hari Pekerja bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya merupakan manifestasi penghargaan negara kepada setiap individu yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi.

Menurut beliau, kerajaan komited memastikan setiap pekerja Malaysia tanpa mengira sektor atau bentuk pekerjaan terus dilindungi, diperkasakan dan diberikan peluang untuk berkembang dalam landskap ekonomi yang semakin dinamik dan mencabar.

Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan pelbagai inisiatif seperti penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025, serta usaha memperkukuh ekosistem latihan kemahiran dan TVET menerusi penubuhan Akademi Semikonduktor KESUMA akan menjadi platform bekalan bakat berterusan dalam bidang reka bentuk cip dan pembuatan kecerdasan buatan (AI), sejajar dengan aspirasi Malaysia sebagai Negara AI.

Pada masa sama, Pavilion KESUMA menjadi antara tarikan utama menerusi inovasi “Digital Integration Tunnel”, iaitu pengalaman imersif berteknologi tinggi yang menggabungkan paparan LED digital interaktif melibatkan 14 jabatan dan agensi di bawah kementerian itu.

Pendekatan tersebut membolehkan pengunjung memperoleh maklumat secara segera berkaitan dengan perlindungan sosial, latihan kemahiran, kebolehpasaran pekerjaan dan keselamatan pekerjaan, selain mentransformasikan penyampaian maklumat kerajaan secara lebih moden, responsif dan berimpak tinggi.

Pelbagai aktiviti informatif turut dianjurkan sepanjang karnival termasuk sesi wacana ilmu, bicara saku berkaitan dengan peluang kerjaya, peningkatan kemahiran, serta kesedaran dunia pekerjaan, selain sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia (World OSH Day) pada 3 Mei 2026.

Karnival itu turut dimeriahkan dengan pelbagai perkhidmatan mesra rakyat seperti pendaftaran Kad Pekerja MADANI, pemeriksaan kesihatan, derma darah, kemudahan pengemaskinian dokumen pengenalan diri, serta program Jualan Rahmah dan Agro MADANI yang membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

Selain karnival utama, Sambutan Hari Pekerja 2026 turut diperkukuh menerusi penganjuran KESUMA Merdeka 118 Vertical Challenge 2026 pada 2 Mei 2026 yang berjaya menarik penyertaan kira-kira 2,500 peserta daripada pelbagai sektor termasuk antarabangsa sebagai simbol penghargaan kepada golongan pekerja.

Secara keseluruhannya, Karnival Hari Pekerja 2026 berjaya mencapai objektifnya dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan menerusi pendekatan keseluruhan kerajaan (whole-of-government) dan keseluruhan industri (whole-of-industry), sekali gus membina ekosistem tenaga kerja yang mampan, responsif dan berdaya tahan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi