Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri Selangor dalam memperkenalkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bagi mendepani cabaran krisis tenaga global yang memberikan tekanan kepada kos pengeluaran sektor agromakanan.
Inisiatif tersebut melibatkan peruntukan berjumlah RM131 juta, termasuk RM25 juta khusus bagi sektor pertanian yang dijangka memberikan manfaat kepada lebih daripada 17,000 pesawah, nelayan, petani, penternak dan pengusaha akuakultur di negeri berkenaan.
KPKM menyifatkan usaha ini sebagai selari dan saling melengkapi pelbagai inisiatif Kerajaan Persekutuan dalam membantu golongan sasar di seluruh negara.
Antara langkah yang sedang dilaksanakan pada peringkat Kerajaan Persekutuan termasuklah peningkatan Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) hingga RM300 sehektar, bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi sebanyak RM400 sebulan kepada petani dan pekebun kecil, serta pelaksanaan subsidi diesel bersasar bagi menyokong operasi sektor agromakanan.
Bagi menghadapi ketidaktentuan global yang berpanjangan, KPKM menegaskan bahawa pendekatan menyeluruh melalui kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri amat penting bagi memastikan bantuan dapat disampaikan secara cekap dan menyeluruh, selain memperkukuh daya tahan rantaian bekalan makanan negara dari peringkat pengeluaran sehingga pengguna.
Kementerian turut menggalakkan lebih banyak kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dalam menyokong sektor agromakanan, khususnya bagi memastikan pesawah, nelayan, petani, penternak dan pengusaha akuakultur kekal berdaya tahan, serta menjamin kestabilan bekalan makanan negara dalam tempoh krisis.
KPKM yakin bahawa sinergi berterusan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri akan memberikan impak signifikan dalam melindungi kepentingan penggiat industri agromakanan, serta memastikan keterjaminan makanan negara terus terpelihara dalam jangka masa panjang.